Dua insiden tanah runtuh di Lubok Antu dan Engkilili
- Admin UKK
- Berita
ENGKILILI, 4 Ogos: Hujan berterusan sejak semalam mengakibatkan dua kejadian tanah runtuh dilaporkan di kawasan Lubok Antu dan Engkilili namun tiada kecederaan atau kerosakan serius dilaporkan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lubok Antu, Leftenan (PA) Desem Samuel berkata, kejadian pertama berlaku di tebing berhampiran Rumah Panjang Kampung Stuga bersebelahan Sungai Stuga.
“Rekahan jelas kelihatan di kawasan tebing berhampiran rumah panjang. Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memasang pita amaran di lokasi berisiko sebagai langkah keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
APM menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.10 petang dan segera mengerahkan tiga anggota pasukan MyAPSA-O Alpha ke lokasi kejadian.
Kejadian kedua pula dilaporkan berlaku di kawasan Rumah Panjang Jelukong.
Bagaimanapun, tiada kerosakan dilaporkan pada struktur rumah dan keadaan dilaporkan terkawal.
Desem turut menasihati penduduk di kawasan terlibat agar sentiasa berwaspada terutamanya ketika musim hujan dan segera melaporkan sebarang tanda-tanda pergerakan tanah atau runtuhan bagi membolehkan tindakan pantas diambil oleh pihak berkuasa.-TVS