OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Hanya aktiviti rekreasi air dihentikan

Hanya aktiviti rekreasi air dihentikan

BAGAN SERAI: Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) menghentikan sementara semua aktiviti rekreasi air di Tasik Bukit Merah di sini sejak dua minggu lalu berikutan penyusutan paras air di tasik tersebut.

Pengurus BMLR, Danesh Kumar berkata, penyusutan air tasik tersebut berlaku setiap tahun akibat musim kemarau dan ia bukan perkara baharu.

“Kami terpaksa menghentikan semua aktiviti rekreasi air di tasik ini seperti berkayak dan aktiviti bot membawa pelancong. Turut dihentikan ialah lawatan ke Pulau Orang Utan yang terletak di tengah tasik ini.

“Namun aktiviti di Taman Tema Air BMLR di dalam kawasan resort ini masih bero­perasi seperti biasa dan pengunjung boleh merancang percutian mereka di resort ini.

“Aktiviti rekreasi air melibatkan penggunaan tasik hanya akan disambung semula apabila paras air meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, berlaku kekeliruan dalam kalangan segelintir pengunjung yang menyangka semua aktiviti rekreasi air di resort itu ditutup sepenuhnya berikutan laporan berita mengenai penyusutan air tasik tersebut.

Beliau berkata, sebenarnya ha­nya aktiviti rekreasi air di tasik sahaja dihentikan buat sementara namun Taman Tema Air di resort itu masih berope­rasi seperti biasa.

“Kami berharap agar pihak media yang membuat liputan ketika air menyusut ketika ini dapat kembali ke sini untuk melaporkan keadaan apabila paras air kembali pulih nanti,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan mengenai paras air di Tasik Kolam Bukit Merah di sini yang menjadi sumber utama air untuk kegunaan domestik dan pertanian terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping didapati surut berikutan cuaca panas.

Tinjauan mendapati paras air tasik itu kini surut sehingga menampakkan tunggul-tunggul kayu di dasarnya malah, dikatakan kawasan yang kering sehingga sejauh lebih 900 meter daripada pelantar nelayan darat di Kampung Selamat di sini.

Fenomena air di tasik itu surut berlaku hampir setiap kali musim panas dan kali terakhir keadaan yang sama berlaku pada Ogos tahun lalu.

Keadaan itu membimbangkan pesawah di sekitar Bagan Serai, Alor Pongsu, Gunung Semanggol dan Selinsing yang mungkin berdepan masalah kekurangan air kerana tasik tersebut merupakan sumber utama air untuk sawah padi.

Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield MR CL3 dan MR CL4 di Kampung Gajah, dekat Pasir Salak berkata, pembenihan awan akan diusahakan susulan penurunan kritikal paras air di Empangan Bukit Merah.

-UTUSAN.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search