Banjir: PETRA giat tambah baik infrastruktur di Sabah
- Admin UKK
- Berita
Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), giat melaksana penambahbaikan infrastruktur kesihatan awam dan memperkukuh keupayaan menghadapi ancaman banjir di Sabah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Projek Skim Pembetungan Berpusat Putatan Fasa 1 yang bernilai RM134.4 juta kini mencapai 69.85 peratus kemajuan setakat bulan lalu.
Katanya, projek dilancarkan pada Disember 2020 bertujuan menaik taraf infrastruktur pembetungan di daerah Putatan yang pesat membangun.
"Projek ini dijadualkan siap pada 3 Mac 2026," katanya selepas melawat tapak projek di sini, hari ini.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, cabaran utama pelaksanaan projek ialah penemuan bongkah batu besar di bawah tanah yang menyebabkan kelewatan kerja pemasangan paip.
"Kontraktor telah menambah bilangan pasukan pipe jacking kepada tiga setakat Jun 2025 bagi membolehkan kerja dijalankan serentak di beberapa lokasi projek.
"Projek ini dijangka memberi impak besar terhadap sanitasi awam, mempertingkat kelestarian alam sekitar dan menyokong pembangunan jangka panjang kawasan Putatan," katanya.
Skop projek ini merangkumi pembinaan loji rawatan kumbahan baharu dengan kapasiti 50,000 orang, pembinaan rangkaian paip pembetungan baharu sepanjang 9.9 kilometer, penyusunan semula tiga loji rawatan kumbahan berskala kecil sedia ada dan pembinaan jambatan paip sepanjang 60 meter.
Sementara itu, Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Damai di Lembangan 8 kini mencatat 54 peratus kemajuan fizikal.
Projek bernilai RM48 juta ini adalah sebahagian daripada Perbelanjaan Pembangunan Kerajaan Persekutuan yang disalurkan ke Sabah melalui PETRA.
Projek yang dibangunkan pada September 2023 dengan sasaran siap pada Julai 2026 itu membabitkan penaiktarafan sistem saliran, pembinaan stesen pam, pembinaan culvert dan pintu kawalan banjir.
Inisiatif ini dijangka akan melindungi kira-kira 17,500 penduduk di kawasan sekitar daripada ancaman banjir.
Tahun ini, PETRA meluluskan RM153.3 juta peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (Rolling Plan 5) bagi 27 projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Projek ini merangkumi tebatan banjir, kawalan hakisan pantai, pemulihan muara sungai, penstabilan tebing sungai serta kerja mekanikal dan elektrikal.