Gempa bumi Guatemala: Ratusan bermalam luar rumah bimbang gegaran susulan
- Admin UKK
- Berita
SANTA MARIA DE JESUS : Penduduk di bandar Santa Maria de Jesus yang merupakan kawasan paling terjejas akibat gempa bumi di Guatemala terpaksa bermalam di luar rumah berikutan bimbang berlaku gegaran susulan.
Penduduk dilaporkan menghabiskan waktu dalam khemah yang didirikan di kawasan lapang sepanjang malam sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam pada itu, sisa runtuhan daripada struktur bangunan yang sebahagiannya telah roboh memenuhi jalanan di bandar yang terletak kira-kira 50 kilometer dari ibu kota Guatemala.
Menurut Agensi Penyelaras Nasional untuk Pengurangan Bencana (CONRED), lima kematian telah disahkan termasuk sembilan lagi mangsa cedera masih dirawat di hospital manakala seramai 300 orang telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
Presiden Guatemala, Bernardo Arevalo, telah melawat kawasan terjejas dan memaklumkan bahawa syarikat bekalan elektrik sedang giat berusaha memulihkan bekalan, sementara pasukan teknikal menilai tahap kerosakan yang berlaku.
Menurut Institut Seismologi negara itu, gempa bumi bermagnitud 5.2 melanda selatan Guatemala pada tengah hari Selasa, kira-kira 60 kilometer dari ibu kota Guatemala City manakala sekurang-kurangnya 37 gegaran susulan bermagnitud antara 3.9 hingga 5.6 dilaporkan selepas itu.