OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Exco Selangor pertahan Kusel dalam kontroversi letupan gas Putra Heights

Exco Selangor pertahan Kusel dalam kontroversi letupan gas Putra Heights

KUALA LUMPUR – Penyelia utiliti Selangor, Koridor Utiliti Selangor (Kusel) tidak memandai-mandai dalam meluluskan kerja pemasangan pembentungan saluran paip di Putra Heights sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Meluluskan (PBM).

Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, dalam perkara ini, Petronas adalah PBM kerana kawasan kerja-kerja tersebut berada di bawah jajarannya.

“Memang Petronas meluluskan kerja-kerja korekan itu pada 27 dan 28 Mac, dan mereka menyelia kerja-kerja di jajaran mereka sendiri. Kusel menguruskan permohonan permit dan bahagian ini telah diuruskan untuk kerja pembentung IWK bagi syarikat Hong & Hong Homes Sdn Bhd pada 8 Oktober 2024 hingga 8 Januari 2025, di kawasan melibatkan jajaran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Itu adalah bahagian MBSJ. Bila kawasan libatkan jajaran ROW (hak laluan) Petronas, ia perlukan permohonan kepada Petronas dan kerja itu telah diselia oleh Petronas sendiri sepanjang dua hari iaitu 27 dan 28 Mac.

“Peranan Kusel adalah sebagai One Stop Centre dalam menguruskan permit korekan utiliti di Selangor namun kebenaran untuk melaksanakan tugas adalah tertakluk kepada PBM itu sendiri. MBSJ, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan TNB adalah antara PBM yang mempunyai kawasan jajaran sendiri.

“Kusel membantu dari segi penetapan jajaran, melaksanakan pemetaan tetapi kebenaran untuk bekerja di bawah PMB itu adalah di bawah pihak itu sendiri dan perkara ini menjadi SOP dari awal,’’ katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab isu mengenai peranan Kusel dalam kebenaran pelaksanaan kerja pembentungan oleh syarikat Hong & Hong Homes Sdn Bhd di lokasi berhampiran kebakaran saluran paip di Putra Heights.

Mengulas lanjut, Izham berkata, Kusel menerima pakai standard Persatuan Jurutera Mekanikal Amerika (ASME) yang digunakan di seluruh dunia dan ia juga kaedah yang dipersetujui oleh Suruhanjaya Tenaga.

“Ia memang mematuhi segala aspek, ada penyelidikan tanah (SI), pelaksanaan kerja penstabilan tanah sebab pergerakan tanah berubah sepanjang masa, kaedah rawatan dan melakukan kajian tanah,’’ katanya.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Azmin Ali bangkit dan mempertikai kenapa penggunaan kaeadah ASME yang merupakan piawaian tertinggi tidak termaktub dalam laporan yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) dalam laporan hasil siasatan Putra Heights.

Perkara ini, katanya, menjadi keresahan mangsa dan penduduk bukan sahaja di Putra Heights malah mereka yang menetap di sepanjang jajaran 2,600 kilometer di seluruh negara.

Azmin juga mempersoalkan jika betul SI dilakukan berdasarkan kajian 20 tahun lalu dengan menggunakan aspek ASME, kenapa tiada siasatan dijalankan terhadap aktiviti antropegenik (aktiviti manusia) di kawasan tersebut.

Izham kemudiannya memberitahu, Petronas mempunyai piawaian sendiri dalam penyelenggaran paip gas dan ia dijalankan secara berkala.

“Sebab itu dalam penyelenggaraan paip ini, Petronas ada standardnya dan mereka memang buat penyelenggaraan dalam paip sendiri, untuk melihat jika ada berlaku apa-apa fatigue dan kebocoran.

“Itu adalah piawaian dalam SOP mereka sendiri. Jadi kita kena faham dari aspek ini.

“Laporan (hasil siasatan Putra Heights) dah keluar dan tiada ada campur tangan manusia terhadap apa yang telah berlaku tapi kita setuju untuk melihat penambahbaikan bagi menguruskan jajaran paip ini,’’ katanya.

Dalam kejadian kebakaran salur paip gas di Putra Heights, April lalu, 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40%, 81% separa musnah, 57% rumah terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong. – 9 Julai, 2025

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search