Adun pembangkang boikot taklimat letupan gas Putra Heights
- Admin UKK
- Berita
Ketua Pembangkang Selangor, Azmin Ali berkata, mereka tidak hadir sesi taklimat tersebut kerana kerajaan negeri gagal mengendalikan isu itu secara telus dan bertanggungjawab, lapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, Azmin berkata wakil rakyat pembangkang akan mengambil bahagian secara aktif dalam sesi DUN esok ketika Menteri Besar Amirudin Shari memberi penjelasan secara rasmi mengenai tragedi itu.
“Mengapa dibuat secara tertutup? Di mana prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan? Mangsa di luar sana menanti jawapan.
“Banyak perkara tidak jelas dalam laporan. Perkara ini mesti dibincangkan secara terbuka di dalam dewan, bukan dalam bilik tertutup,” katanya dalam sidang akhbar selepas persidangan DUN Selangor.
Semalam, Amirudin berkata sesi taklimat khas kepada semua Ahli Parlimen dan Adun Selangor itu akan dilaksanakan jawatankuasa siasatan teknikal antaranya membabitkan pihak polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Katanya, taklimat itu dibuat supaya wakil rakyat faham aspek yang sebenar dan tidak mempunyai persepsi tertentu, sebelum dibahas dalam sidang DUN.
Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Selangor Kelima Belas Tahun 2025 akan bersidang bermula hari ini hingga 18 Julai.
Pada 30 Jun lalu, ketua polis Selangor Hussein Omar Khan pada sidang media khas laporan siasatan insiden kebakaran Putra Heights dilaporkan berkata tiada unsur sabotaj, perbuatan khianat atau kecuaian dikenal pasti sebagai punca kejadian letupan paip gas bawah tanah milik Petronas di Putra Heights di Subang Jaya pada 1 April.
Susulan laporan itu, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti laporan siasatan lengkap insiden berkenaan serta mencadangkan langkah susulan sewajarnya.
Jawatankuasa berkenaan akan merangkumi pandangan pelbagai pihak termasuk peranan kerajaan persekutuan, khususnya dalam aspek pengurusan bencana serta penjelasan kepada umum mengenai kejadian itu.