OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Hujan lebat, banjir: Thailand letak 33 wilayah dalam status berjaga-jaga

Hujan lebat, banjir: Thailand letak 33 wilayah dalam status berjaga-jaga

BANGKOK: Kerajaan Thailand mengumumkan status berjaga-jaga di 33 wilayah minggu ini susulan amaran hujan lebat berterusan yang berpotensi mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Sasikan Watthanachan, berkata Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) telah mengeluarkan amaran kepada wilayah di utara, timur laut, tengah dan selatan negara itu.

“Semua agensi berkaitan di kawasan berisiko diarahkan untuk bersiap siaga sepanjang masa, memantau kemungkinan banjir kilat, limpahan hujan, tanah runtuh serta banjir di kawasan rendah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sasikan menjelaskan pihak berkuasa wilayah dan pusat pencegahan bencana serantau diminta memantau dengan teliti kawasan yang menerima taburan hujan melebihi 90 milimeter dalam tempoh 24 jam, termasuk kawasan yang sering terjejas banjir.

“Pemeriksaan serta pembaikan benteng banjir perlu dilakukan segera, begitu juga kerja-kerja pembersihan saluran air tersumbat dan pengurusan sumber air dari hulu ke hilir secara sistematik,” ujarnya.

Katanya, lokasi pelancongan semula jadi yang berisiko seperti air terjun dan gua juga perlu dipantau rapi, dan jika terdapat sebarang ancaman, kawasan tersebut mesti ditutup serta-merta bagi menjamin keselamatan awam.

Kerajaan turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko tinggi agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca melalui aplikasi THAI DISASTER ALERT serta saluran rasmi dalam talian DDPM.

Sasikan turut memaklumkan bahawa sistem amaran bencana melalui siaran sel (cell broadcast) kini beroperasi sepenuhnya dan bersedia digunakan di seluruh negara sebagai langkah komunikasi pantas dalam situasi kecemasan.

Thailand pernah berdepan bencana besar pada November tahun lalu apabila banjir besar melanda wilayah selatan, meragut 29 nyawa dan memaksa lebih 100,000 keluarga dipindahkan.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search