DUN Selangor tolak petisyen pembangkang isu letupan Putra Heights
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini menolak petisyen yang dikemukakan Ahli Parlimen daripada blok pembangkang berhubung isu tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Speaker DUN Selangor, Lau Weng San, berkata perkara itu bakal dijelaskan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pada sesi taklimat khas yang dijangka berlangsung jam 4.30 petang ini.
Menurut Weng San, permintaan untuk membentangkan petisyen atau rayuan berkenaan dilihat bertindih dengan permohonan yang sudah dikemukakan Amirudin pada sidang DUN kali ini.
“Akan ada (bahas membabitkan insiden Putra Heights), seperti yang saya nyatakan, ada perbahasan selepas ini pada sebelah petang. Menteri Besar akan berjumpa dengan semua Ahli Dewan untuk memberi taklimat.
“Selepas itu, dewan akan bersidang semula dan kita semua akan mengambil bahagian dalam perbahasan ini, dan kerajaan akan memberi penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan (dalam perbahasan),” katanya pada Persidangan Dewan Negeri Selangor Ke-15 di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Afif Bahardin, berkata petisyen berkenaan mewakili antara 20 penduduk yang terkesan susulan tragedi di Putra Heights.
Petisyen itu, antara lain, menuntut supaya sidang DUN Selangor membahaskan isu tragedi di Putra Heights secara terbuka, selain mengemukakan laporan penuh daripada keseluruhan agensi yang terlibat mulai pagi tadi susulan insiden letupan paip gas berkenaan.
Weng San bagaimanapun tidak menghalang isu berkenaan untuk dibahaskan, namun ia perlu dilakukan sebaik sahaja perkara itu disampaikan oleh Amirudin menerusi taklimat yang akan dibentangkan kepada semua Ahli Dewan petang ini.
Blok pembangkang pula menyifatkan perkara itu wajar didahulukan kerana ia bersifat kepentingan awam berbanding sesi soalan-soalan terhadap Menteri Besar Selangor pada sesi pagi tadi.