Kebakaran hutan di Turkiye semakin marak, empat kampung dipindahkan
- Admin UKK
- Berita
ISTANBUL: Pasukan bomba di Turkiye bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan yang sudah memasuki hari kedua di wilayah barat Izmir, apabila api marak diburukkan oleh angin kencang, menurut kenyataan Menteri Perhutanan dan laporan media tempatan pada Isnin.
Kebakaran berlaku di kawasan Kuyucak dan Doganbey, dengan kelajuan angin mencecah antara 40 hingga 50 kilometer sejam, yang menyebabkan api merebak pantas sehingga memaksa empat buah kampung dan dua kawasan kejiranan dipindahkan, kata Menteri Perhutanan, Ibrahim Yumakli.
Lebih seribu anggota termasuk helikopter, pesawat pemadam api serta jentera darat telah dikerahkan bagi mengawal situasi, kata Yumakli kepada pemberita di Izmir.
Rakaman media tempatan menunjukkan usaha pasukan penyelamat menggunakan jentera pertanian bersama tangki air, serta helikopter menjatuhkan air dari udara bagi mengawal api menyelubungi kawasan berbukit yang kini dipenuhi pokok-pokok hangus terbakar.
Wilayah pesisir pantai Turkiye sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering menjadi mangsa kebakaran hutan berikutan musim panas yang semakin panas dan kering, satu fenomena dikaitkan para saintis dengan perubahan iklim global. -AGENSI