Kebakaran hutan berhampiran Taman Negara Bako berjaya dipadam sepenuhnya
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 24 Jun: Kebakaran hutan di Teluk Komeh berhampiran Taman Negara Bako di sini, berjaya dipadam sepenuhnya jam 3 petang tadi selepas dua hari usaha pemadaman dijalankan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, operasi pemadaman dijalankan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dengan kekuatan 10 anggota bersama agensi lain.
“Kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 10,000 hingga 10,500 meter persegi.
“Tindakan pantas pasukan bomba berjaya membina firebreak (penghalang api) bagi mengelakkan kemerebakan kebakaran lebih besar ke kawasan sekitar,” kata kenyataan itu.
Operasi turut melibatkan penggunaan dua unit pam angkut, air laut sebagai sumber utama, empat nozel dan satu aliran sepanjang 260 meter.
Antara cabaran utama yang dihadapi pihak bomba memadam kebakaran itu ialah kekangan komunikasi, faktor pasang surut air laut serta kawasan berbukit yang menyukarkan pergerakan.
Turut membantu dalam operasi ialah lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Bako Indah dan tujuh anggota daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC) Taman Negara Bako.
Pihak SFC akan meneruskan pemantauan berkala bagi memastikan kebakaran tidak berulang. – TVS