Taufan Wutip ragut lima nyawa di Vietnam
- Admin UKK
- Berita
HANOI: Angin kencang dan hujan lebat akibat taufan yang melanda tengah Vietnam meragut lima nyawa dan menyebabkan dua lagi dilaporkan hilang, dengan kawasan pertanian yang luas turut ditenggelami banjir.
Taufan Wutip melanda selatan China semalam dengan kelajuan angin mencecah 128 kilometer (km) sejam sebelum melemah menjadi ribut tropika selepas melintasi Teluk Tonkin di bahagian pesisir Vietnam.
Kementerian Pertanian Vietnam melaporkan, tiga orang maut di wilayah Quang Tri di bahagian tengah negara itu, manakala dua lagi terbunuh dan dua hilang di wilayah Quang Binh.
Lebih 70,000 hektar tanah pertanian dilaporkan ditenggelami air, menurut kenyataan kementerian tersebut.
Pihak berkuasa China di pulau selatan Hainan turut memindahkan ribuan penduduk, menutup sekolah dan menghentikan perkhidmatan kereta api sejak Jumaat sebagai langkah berjaga-jaga menjelang ketibaan taufan itu.
Namun, Pusat Amaran Taufan Bersama meramalkan ribut tersebut akan lemah sepenuhnya menjelang penghujung hujung minggu.
Bencana alam kini semakin kerap dan lebih dahsyat akibat perubahan iklim.
Di Vietnam sahaja, sebanyak 514 nyawa terkorban akibat bencana alam pada tahun lalu, tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tahun 2023, menurut kementerian itu.
Pada September lalu, utara Vietnam dilanda Taufan Yagi yang meragut 345 nyawa dan menyebabkan kerugian ekonomi mencecah AS$3.3 billion (RM14.01 billion).-AFP