Tumpu isu setempat, pastikan infrastruktur dan keselamatan komuniti terjamin
- Admin UKK
- Berita
MIRI, 15 Jun: Pendekatan turun padang terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak dalam usaha meneliti serta menangani cabaran rakyat secara holistik, khususnya berkaitan isu infrastruktur dan keselamatan komuniti.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, penyelesaian terhadap isu berkenaan memerlukan pendekatan menyeluruh dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk pihak sekolah dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).
Antara lokasi yang dikunjungi dalam lawatan kerja tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong yang berdepan masalah kesesakan dan kekurangan ruang parkir.
“Isu ini bukan sahaja berkait dengan keselesaan, tetapi juga melibatkan aspek keselamatan serta kelancaran logistik harian. Penyelesaian jangka panjang perlu mengambil kira pelbagai faktor agar tidak bersifat sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lawatan turut diteruskan ke Surau Darul Tassim, Kampung Katong Lopeng yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh baru-baru ini.
Menurut beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains telah diminta menjalankan kajian struktur bagi memastikan keselamatan pengguna sebelum sebarang kerja pembaikan dijalankan.
Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau kemudahan taman rekreasi di kawasan berkenaan yang dilihat kurang dimanfaatkan komuniti sekali gus menegaskan kepentingan reka bentuk kemudahan awam yang lebih praktikal, mesra pengguna dan memerlukan kos penyelenggaraan yang rendah.
“Yang penting bukan saiz atau kos, tetapi keberkesanan fungsi dan nilai tambah kepada penduduk setempat,” katanya lagi.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam mendekati rakyat dan menyelesaikan isu secara realistik di peringkat akar umbi. – TVS