OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Negara dijangka tidak alami cuaca panas ekstrem

Negara dijangka tidak alami cuaca panas ekstrem

PETALING JAYA: Negara tidak dijangka mengalami cuaca kering dan panas melampau sepanjang tempoh Monsun Barat Daya yang sedang berlangsung sehingga September ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas yang melanda beberapa kawasan ketika ini dijangka beransur reda mulai minggu ini susulan ramalan lebih banyak hujan pada waktu pagi dan lewat petang di kebanyakan tempat.

Keadaan ini dijangka membawa suasana sejuk serta meredakan suhu yang sebelum ini mencatat bacaan agak tinggi, terutamanya di kawasan bandar dan pedalaman Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd. Hisham Mohd Anip berkata, walaupun Monsun Barat Daya lazimnya dikaitkan dengan cuaca kering dan taburan hujan rendah, namun keadaan cuaca semasa menunjukkan perubahan positif apabila lebih banyak hujan diramal turun minggu ini.

“Hujan dijangka berlaku pada waktu pagi dan petang di kebanyakan tempat termasuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ini dijangka meredakan suhu tinggi yang melanda beberapa kawasan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walaupun ribut petir dan hujan lebat masih boleh berlaku secara setempat, suhu dijangka kembali normal dan tiada tanda musim kemarau berlaku kerana tiada pembentukan El Nino di rantau ini.

Mohd. Hisham berkata, gelombang haba jarang berlaku semasa Monsun Barat Daya kerana suhu kebiasaannya tidak melebihi 37 darjah Celsius, namun cuaca kering tetap boleh menyebabkan risiko kebakaran hutan dan jerebu jika pembakaran terbuka tidak dikawal.

Katanya, berdasarkan Indeks Kerpasan Piawai (SPI) bagi April, tiada kawasan direkodkan dalam status kemarau kerana kebanyakan stesen me­nunjukkan bacaan sederhana hingga terlalu lembap.

Mohd. Hisham berkata, status Waspada Kemarau hanya diaktifkan jika bacaan SPI menurun bawah 1.5 (sederhana kering) dan jumlah hujan kumulatif tiga bulan terkini mencatat defisit melebihi 35 peratus daripada paras normal.-UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search