Bau perit serang lewat malam
- Admin UKK
- Berita
Gopeng: Bagaikan tiada kesudahan isu pencemaran udara sekitar kawasan Simpang Pulai di sini yang dikatakan berlaku saban tahun tahun akibat kegiatan pembakaran dipercayai hasil sisa bahan kimia.
Pencemaran udara bau itu menjejaskan ribuan penduduk beberapa kawasan di Simpang Pulai antaranya Kampung Baru Simpang Pulai, Kampung Sengat, Keramat Pulai, Taman Botani, Taman Muda dan kawasan berhampiran dalam Mukim Sungai Raia.
Ketua Kampung Tanjung di Keramat Pulai, Zahari Din, 58, berkata pencemaran itu yang berlaku secara berkala sejak 15 tahun lalu menghasilkan bau perit yang menyengat seakan bahan kimia, malah asapnya turut memedihkan mata dan menyebabkan sesak nafas.
Menurutnya, keadaan itu semestinya meresahkan penduduk lebih 500 penduduk yang bimbang dengan risiko kesihatan, selain menggugat kesejahteraan penduduk sekitar.
Katanya, demografi kawasan Simpang Pulai yang dikenali dengan industri kuari batu kapur dilihat tipis bagi menoktahkan isu pencemaran itu terutamanya apabila terdapat banyak kilang memproses bahan kuari serta bahan lain termasuk kilang peleburan logam atau e-sisa.
Menurutnya, pihaknya difahamkan Jabatan Alam Sekitar (Jas) sudah berulang kali menjalankan tinjauan dan penguatkuasaan di kawasan Simpang Pulai namun isu pencemaran bau itu tetap berterusan.
"Hendak katakan setiap hari bau itu datang memang tidak kerana ia datang pada masa-masa tertentu terutamanya menjelang senja dan bau kuat biasanya antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam serta boleh berterusan hingga Subuh.
"Baunya seperti bahan kimia yang menusuk dan memeritkan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Sengat, Abdul Aziz Hasan, 68, mengakui masalah pencemaran bau itu meresahkan penduduk terutama dalam aspek kesihatan seperti penghidap asma.
Menurutnya, jika tiga tahun lalu pencemaran bau boleh dikatakan setiap hari, namun kini ia berkala memandangkan kilang yang dikenal pasti sebagai punca bauan itu sudah berpindah ke lokasi lain sekitar Simpang Pulai sejak tiga tahun lalu.
Beliau yang iman di Masjid Al Kholidi Kampung Sengat berkata, difahamkan bauan itu terhasil daripada pembakaran sisa kilang apabila pihak kilang mengupah pihak lain bagi melupuskan sisa termasuk dengan cara tidak sah.
Sementara itu, pencemaran udara yang diselubungi bauan kimia di Simpang Pulai pernah beberapa kali dilaporkan di akhbar sejak tahun 2022, di mana ketika itu beberapa kilang termasuk kilang peleburan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) sudah dikenal pasti sebagai punca pencemaran bau di Simpang Pulai.
Minggu lalu, pencemaran bau terbabit di Simpang Pulai kembali diperkatakan sehingga wakil rakyat kawasan itu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Pulai, Wong Chai Yi meminta bantuan penduduk supaya segera melaporkan kepada Jas jika terhidu bauan pelik yang disyaki pencemaran udara agar pemeriksaan di kawasan berhampiran dapat segera dibuat.
"Bagi membantu siasatan dan menghentikan pencemaran udara daripada terus merebak, kami menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan, termasuk jenis bau yang dihidu termasuk bau busuk, bau klorin, bau bahan kimia, bau pembakaran dan sebagainya.
"Begitu juga pada masa bila anda menghidu bau itu, lokasi tepat dan sumber pencemaran disyaki boleh salurkan maklumat kepada kami atau buat aduan terus melalui saluran rasmi," katanya di Facebook rasminya.
Jas Perak pantau 24 jam
Jabatan Alam Sekitar (Jas) Perak sudah menjalankan penguatkuasaan secara berterusan terhadap industri yang beroperasi di Simpang Pulai khususnya di kawasan industri Keramat Pulai dan Tungzen.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, antara sektor yang diberi penekanan adalah industri pirolisis, kitar semula buangan terjadual, kuari, dan batu kapur yang dilihat berpotensi menyumbang kepada pencemaran udara.
"Selain pemeriksaan berjadual, operasi mengejut turut dilaksanakan pada waktu malam dan awal pagi bagi memastikan pematuhan industri sepanjang masa.
"Sehingga kini Jas sudah menjalankan 55 pemeriksaan, mengeluarkan 15 notis arahan, mengenakan lapan kompaun dan satu tindakan penggantungan lesen," katanya kepada Harian Metro.
Dr Mohammad Ezanni berkata, sehingga 22 Mei lalu pihaknya sebanyak 31 aduan rasmi berkaitan gangguan bau di sekitar kawasan Simpang Pulai dengan menyifatkannya laporan tertinggi diterima sepanjang Mei.
Beliau berkata, gangguan bau itu sememangnya dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka serta operasi beberapa industri di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sehingga kini, Jas sudah mengesan sebanyak 16 kes pembakaran terbuka yang kebanyakannya membabitkan pembakaran sisa pepejal secara haram.
Beliau berkata, sebanyak empat notis arahan dikeluarkan kepada pemilik tanah yang terbabit serta dua kompaun dikenakan atas kesalahan yang melanggar peruntukan undang-undang mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, bagi memperkukuh pemantauan, Jas menggunakan peralatan pengesan gas dan habuk seperti CEREX, GRIMM dan dron yang dilengkapi sniffer untuk pemantauan udara bagi mengesan kehadiran bahan pencemar yang boleh menyebabkan bau tidak menyenangkan.
Menurutnya, pemantauan yang dilakukan 24 jam itu khususnya pada waktu malam bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku pencemaran yang melebihi tahap dibenarkan.
"Jas Perak komited dalam menjalankan peranan dengan terus memantau, mengawal dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran.
"Jas menyeru semua pihak termasuk penduduk dan pengusaha industri untuk bekerjasama dalam memelihara kualiti alam sekitar demi kesejahteraan bersama," katanya.
Tindakan yang dilaksanakan Jas ini hasil mesyuarat dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori bagi membincangkan isu pencemaran bau bahan kimia itu yang turut dihadiri Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.