OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir Australia Timur: Arahan pemindahan dikeluarkan

Banjir Australia Timur: Arahan pemindahan dikeluarkan

SYDNEY: Arahan pemindahan telah dikeluarkan dan lebih 20 orang diselamatkan susulan kejadian banjir di negeri New South Wales (NSW), lapor Xinhua.
 
Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) NSW lewat malam Isnin mengeluarkan amaran kecemasan kepada penduduk bandar Dungog dan Paterson, lebih 140 km di utara Sydney dalam wilayah Hunter, agar berpindah sebelum 11.30 malam.
 
"Jika anda kekal di kawasan tersebut, anda mungkin terperangkap tanpa bekalan elektrik, air dan perkhidmatan penting lain. Keadaan mungkin terlalu berbahaya untuk SES NSW melakukan operasi menyelamat, dan bangunan mungkin tidak mampu menahan impak air banjir," menurut kenyataan itu.
 
Amaran berasingan turut dikeluarkan awal pagi Selasa bagi kawasan tertentu di Bulahdelah dan Gloucester, dua lagi bandar di wilayah Hunter, yang menggesa penduduk berpindah sebelum 6 pagi.
Kawasan utara Sydney dilanda hujan lebat sejak Ahad, menyebabkan kejadian banjir kilat meluas.
 
Beberapa bahagian di Hunter dan kawasan berhampiran Mid North Coast menerima lebih 200 milimeter hujan dalam tempoh 24 jam.
Penerbangan di Lapangan Terbang Newcastle, bandar terbesar di Hunter, telah dibatalkan atau terganggu, dan lebih 30 sekolah ditutup.
 
Amaran cuaca buruk yang dikeluarkan Biro Meteorologi selepas 3.30 pagi Selasa menyatakan hujan lebat dan angin kencang dijangka berterusan sehingga Rabu, dan boleh menyebabkan banjir kilat "berbahaya dan mengancam nyawa".
Sehingga pagi Selasa, kira-kira 6,000 hartanah di Hunter, Mid North Coast dan Central Coast terputus bekalan elektrik.
 
-- BERNAMA
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search