Bina tembok kekal, pagar kekang seludup di Kelantan
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU: Pembinaan tembok kekal yang berfungsi sebagai tebatan banjir dan pagar menjadi solusi terbaik membendung aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, bentuk muka bumi dan jarak yang panjang sejauh 136 kilometer (km) bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Jeli memberi kesukaran kepada pihaknya untuk mengawal sempadan yang disifatkan ‘terbuka’ itu.
“Saya akui perkara ini menjadi cabaran kepada penugasan terutama Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam mengawal sempadan khususnya dari segi kekuatan tenaga kerja.
“Bagaimanapun, kawalan sempadan terus diketatkan dengan bantuan unit risik dan pasukan khas dalam memastikan penyeludupan dibendung dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mohd. Yusoff berkata, pembinaan tembok dan pagar itu perkara yang sering diperjuang Polis Kelantan dalam mencegah penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, sebagai langkah pencegahan ketika ini, Polis Kelantan menguatkuasakan Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).
“Tetapi paling berkesan adalah membina tembok dan pagar sepertimana titah Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semasa perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tempoh hari.
“Saya harap perkara ini dapat disegerakan. Selagi perkara ini (tembok) tidak direalisasikan ia memberi kesukaran buat kami,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, minggu lalu pihaknya menerima maklumat berkaitan kemasukan senjata api ke negeri ini namun apabila serbuan dilakukan, barangan tersebut tidak ditemukan.
Akhbar ini melaporkan, pelbagai helah digunakan opara penyeludup untuk membawa masuk senjata api ke negara ini termasuk menggunakan lori sayur, ikan dan kontena.
Penyeludup turut dikesan menggunakan perkhidmatan kargo, kereta api dan laluan laut selain menggunakan ‘khidmat’ pendatang asing tanpa izin (PATI) dan melalui lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand. – UTUSAN