Kualiti udara Jakarta tidak sihat, kelima terburuk di dunia
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA: Kualiti udara di Jakarta pagi semalam direkodkan sebagai tidak sihat bagi kumpulan rentan, menurut laman IQAir, sekali gus meletakkan ibu kota Indonesia itu di kedudukan kelima antara bandar dengan kualiti udara paling buruk di dunia.
Memetik laporan ANTARA, Indeks Kualiti Udara (AQI) di Jakarta berada pada paras 138 dengan kepekatan partikel halus PM2.5 mencecah 50.4 mikrogram setiap meter padu.
Orang ramai disarankan supaya sentiasa menjaga kesihatan dengan memakai pelitup muka ketika melakukan aktiviti di luar rumah.
Dalam pada itu, IQAir turut merekodkan bandar dengan kualiti udara paling buruk di dunia pada hari sama, dengan Delhi, India berada di kedudukan pertama dengan skor 187, diikuti Kampala, Uganda (149), Dhaka, Bangladesh (145), dan Batam, Indonesia (138).
Sementara itu, menurut Sistem Maklumat Alam Sekitar dan Kebersihan Jabatan Alam Sekitar Provinsi DKI Jakarta, kualiti udara di lima lokasi di Jakarta berada dalam kategori sederhana atau nilai estetika, dengan julat PM2.5 antara 51 hingga 100.
Antara lokasi itu ialah Pasar Minggu, Jakarta Selatan dengan AQI 93; Cempaka Putih, Jakarta Pusat (51); Kelapa Gading, Jakarta Utara (83); Kalideres, Jakarta Barat (90); dan Pulogadung, Jakarta Timur (85).
Menerusi portal berkenaan, DLH Jakarta mengesyorkan penduduk di kawasan terbabit memakai pelitup muka ketika berada di luar.
Bagi kumpulan rentan, pula, dinasihatkan supaya lebih banyak berehat, melakukan aktiviti ringan, membawa ubat peribadi dan turut memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan. - AGENSI