Putra Height: Bateriku.com beri bateri kereta baharu kepada pelanggan terlibat
- Admin UKK
- Berita
HAH ALAM: Prihatin dengan nasib pelanggan yang terjejas akibat letupan gas di Putra Heights pada Hari Raya Aidilfitri kedua lalu, syarikat bateri kenderaan dan penyedia bantuan perkhidmatan jalan raya, Bateriku.com menghulurkan bantuan bateri kereta baharu menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) khas yang bernilai hampir RM20,000.
Menurut Bateriku.Com, letupan yang berlaku di kawasan Putra Heights pada 1 April lalu menyebabkan kemusnahan besar, terutamanya di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.
“Letupan tersebut bukan sahaja meranapkan sebahagian rumah penduduk, malah kenderaan yang berada dalam radius 400 meter dari lokasi kejadian turut rosak teruk akibat bahang panas daripada letupan tersebut.
“Sebagai syarikat yang berpegang pada nilai komuniti, Bateriku.com segera bertindak dengan meneliti data pelanggan yang pernah mendapatkan perkhidmatan bateri kami di kawasan yang terlibat. Hasil semakan, sebanyak 58 pelanggan dikenal pasti sebagai pemilik kenderaan yang berada dalam kawasan terjejas,” katanya di sini semalam.
Jelas Bateriku.Com, pada 22 April, pihaknya telah ke kawasan perumahan Putra Harmoni untuk melaksanakan program pertukaran bateri secara ‘1 to 1’ bagi pelanggan yang terkesan.
Katanya lagi, pelanggan yang hadir diberi bateri baharu secara percuma sebagai usaha membantu meringankan beban kos baik pulih selepas insiden letupan yang mengejutkan komuniti setempat.
“Selain itu, Bateriku.com turut menawarkan baucar diskaun untuk penukaran bateri dan pakej servis kereta di BGarage bagi pelanggan dalam senarai yang tidak dapat hadir atau kenderaan mereka mengalami kerosakan yang lebih serius.
“Kami menerima maklumat tentang kejadian letupan ini dan segera melakukan semakan dalam sistem untuk mengenal pasti pelanggan yang terlibat. Ini adalah usaha kami untuk membantu, walaupun kecil, agar pelanggan kami tidak berasa terpinggir di saat mereka menghadapi kesusahan,” katanya. – UTUSAN