Kerajaan Selangor gagal selesaikan isu banjir – Pemuda Pas
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mendakwa kerajaan Selangor gagal menunaikan janji menyelesaikan isu banjir khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, rakyat berhak tahu perkembangan sebenar projek tebatan banjir yang sering disebut-sebut dalam Belanjawan Negeri, namun sehingga kini hasilnya masih kabur.
"Mana laporan kemajuan (banjir) dan hasil ratusan juta ringgit yang kononnya dibentangkan untuk infrastruktur dan pengurusan banjir?” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri turut melahirkan rasa simpati terhadap penduduk yang terjejas akibat banjir yang melanda Paya Jaras.
Beliau berkata, pihaknya telah menggerakkan Jabatan Amal Selangor di bawah Pemuda Pas untuk segera memberi bantuan kepada mangsa, namun menegaskan bantuan sukarela bukanlah penyelesaian jangka panjang.
"Projek tebatan banjir wajib disiapkan segera dan ini bukan retorik kerana ia soal nyawa dan maruah rakyat,” tegas beliau.
Mohamed Sukri menjelaskan, beliau sebelum ini telah beberapa kali membuat pendedahan tentang kelewatan dan kelemahan kerajaan Selangor dalam menangani banjir.
Bagaimanapun, katanya, semua teguran itu dibalas dengan sindiran dan cercaan, malah beliau dituduh memperbodohkan diri sendiri.
"Saya tidak gentar dan biarlah saya dicaci, asalkan saya tidak membisu saat rakyat dihanyutkan air banjir dan dihimpit kelalaian pentadbiran,” kata Mohamed Sukri.
Lebih mengecewakan, katanya, kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kegagalan mengatasi banjir seolah-olah tidak diendahkan.
"Banjir bukan bencana semata, ia adalah petunjuk jelas kegagalan kerajaan yang lebih mementingkan persepsi daripada realiti," ujar beliau.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, sebanyak 80 rumah di Kampung Paya Jaras Hilir di sini terjejas banjir kilat pada Rabu.