OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama pengurusan bencana

Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama pengurusan bencana

JAKARTA, 22 April: Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama Indonesia dalam aspek pengurusan bencana, termasuk melalui pertukaran kepakaran dan pendekatan bersama Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia.

Perkara itu didedahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat BNPB serta Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre) di sini, pada Isnin.

Menurut Zahid, walaupun skala bencana di Malaysia tidak sebesar yang dihadapi Indonesia, aspek latihan dan persediaan tetap perlu ditingkatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Katanya, Malaysia boleh banyak belajar daripada pengalaman Indonesia dalam bidang ini.

“Walaupun kita hanya mempunyai satu Pasukan SMART yang menangani semua jenis bencana, BNPB mempunyai pasukan khusus bagi setiap sektor seperti kebakaran, banjir, gempa bumi, letusan gunung berapi dan kemalangan laut,” ujarnya.

Zahid turut menyatakan kekaguman terhadap tahap kesiapsiagaan BNPB, dan percaya banyak perkara boleh dipelajari oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menyelaras gerak kerja pengurusan kecemasan di Malaysia.

Beliau dalam pada itu turut mengundang rakan-rakan dari Indonesia, khususnya Ketua BNPB, untuk berkunjung ke Malaysia bagi memahami pendekatan yang sedang dan akan dilaksanakan dalam memperkukuh kerjasama dua hala.

Tambah beliau, lawatan pasukan dari Malaysia ke Indonesia memberi peluang kepada mereka untuk memahami sistem pengurusan bencana negara jiran itu, sekali gus memperluas pengetahuan dan pengalaman dalam usaha mempertingkatkan kesiapsiagaan negara.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan kepentingan untuk menegakkan prinsip “One ASEAN, One Response” sebagai satu komitmen yang melampaui retorik dan harus dizahirkan menerusi tindakan bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN ketika menghadapi bencana. -TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search