Aidilfitri ’10 minit’ pasukan SMART di Sagaing
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Takbir Aidilfitri yang biasanya mengisi ruang masjid dan rumah di tanah air, kali ini hanya bergema selama 10 minit di Sagaing.
Namun bagi 50 anggota Pasukan Khas SMART yang menyambut lebaran dalam misi bantuan kemanusiaan — itu sudah cukup membawa erti besar dalam seribu kepayahan.
Seramai 50 anggota SMART berlepas dari Malaysia pada malam 30 April lalu, sehari sebelum sambutan Aidilfitri. Ketibaan mereka disusuli perjalanan selama 11 jam dari Naypyidaw ke Sagaing, melintasi lebih 10 sekatan jalan raya dan diiringi enam pasukan keselamatan tempatan.
Komander Kontinjen MAS-01, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Hafiezul Abdul Halim berkata, anggota tetap menunaikan solat sunat Aidilfitri dan bertakbir secara ringkas sebelum memulakan operasi.
“Takbir hanya lima ke sepuluh minit, tetapi cukup menyentuh hati. Dalam kepenatan, kami tetap tunaikan walau di perantauan,” katanya dalam temu bual khas Podcast Utama yang disiarkan di platform digital Buletin TV3, semalam.
Misi menyelamat di lokasi runtuhan itu menyaksikan pasukan SMART berjaya mengesan 10 mayat mangsa, termasuk seorang sami dan dua beranak yang terperangkap di bawah runtuhan kuil.
“Keadaan di lokasi sangat mencabar. Struktur bangunan runtuh hingga dua tingkat ke bawah. Kami perlu menggali dua hingga tiga meter untuk sampai ke mangsa,” kata Hafiezul.
“Rumah-rumah di Sagaing biasanya empat hingga lima tingkat. Tapi bila gempa melanda, tingkat satu dan dua seolah-olah hilang tenggelam terus. Jadi kita nampak tiga tingkat, tapi dua tingkat di bawah tu masih ada, tersembunyi di bawah timbunan konkrit,” katanya.
Pasukan SMART menggunakan pelbagai kaedah pencarian termasuk kaedah fizikal, teknikal dan visual.
“Kaedah pertama ialah pencarian fizikal — kami akan buat barisan panjang, jerit nama mangsa, dan tanya penduduk setempat kalau dengar bunyi ketukan atau jeritan,” katanya.
Kaedah kedua ialah pencarian teknikal menggunakan alat pengesan khas seperti Delsar, sejenis gabungan mikrofon sensitif dan sensor getaran.
“Apabila kami gunakan Delsar, semua orang kena berhenti kerja dan senyap sepenuhnya. Kalau ada bunyi kecil macam ketukan atau jeritan, sensor akan kesan.
Bagi kaedah ketiga pula, SMART menggunakan kamera IRIS — kamera kecil beresolusi tinggi yang boleh dimasukkan ke celahan sempit dan runtuhan.
“Ia sangat berguna kalau kami syak ada mangsa hidup berdasarkan tanda-tanda tertentu,” jelasnya.
Namun, cabaran operasi tidak terhenti pada runtuhan semata-mata. Suhu di lokasi mencecah sehingga 41 darjah Celsius, memaksa anggota mengambil satu botol air setiap jam dan menjana sekurang-kurangnya 2,500 kalori sehari bagi mengekalkan tenaga.
Jelasnya, satu-satunya mangsa yang berjaya diselamatkan masih menerima rawatan di hospital. Semua mayat lain dikeluarkan mengikut keutamaan dan diserahkan kepada pihak tempatan untuk pengebumian.
“Kami tak boleh tinggal mayat di bawah. Jika tak dikeluarkan, mereka mungkin terus ditanam atau dibakar di situ juga. Itu bukan prinsip kami,” tegas Hafiezul.
Menurut Hafiezul, ketika operasi di celah rutuhan bangunan, ramai keluarga mangsa menaruh harapan agar pasukan SMART dapat membawa keluar mayat ahli keluarga dengan sempurna, sekalipun jasad tidak lagi utuh.
“Itulah detik-detik yang benar-benar menguji kami. Mental, emosi, semuanya. Tapi kami dilatih untuk itu. Kami ikut SOP, ada penggiliran masuk dua orang satu masa saja. Safety officer pantau dari luar. Setiap inci kerja perlu dibuat dengan teliti,” tegasnya.
Menurut Hafiezul, misi di Myanmar bukan sekadar operasi mencari mangsa, malah ia menjadi simbol solidariti, kemanusiaan dan harapan.
“Kita bukan saja selamatkan mangsa hidup. Yang meninggal dunia pun ada hak untuk dibawa keluar dengan bermaruah. Kami tak akan tinggalkan mereka,” katanya lagi.