Ramai tak sedar polisi insurans standard bukan automatik lindungi kerosakan akibat letupan gas - PIAM
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Pemilik rumah yang terjejas akibat letupan saluran gas di Putra Heights 2 April lalu ini hanya boleh membuat tuntutan insurans sekiranya hartanah dilindungi di bawah insurans pemilik rumah atau isi rumah yang mempunyai perlindungan tambahan bersesuaian.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon, berkata ramai pemegang polisi masih tidak menyedari polisi insurans standard tidak secara automatik merangkumi perlindungan terhadap kerosakan akibat letupan gas domestik.
"Salah faham itu menyebabkan sesetengah pihak menyangka mereka dilindungi, sedangkan hakikatnya, perlindungan bergantung kepada jenis polisi dan manfaat tambahan yang dipilih.
"Walaupun kebanyakan polisi insurans rumah dan isi rumah standard di Malaysia meliputi kerosakan akibat letupan, pemilik perlu menyemak butiran perlindungan dengan syarikat insurans masing-masing atau merujuk kepada penyataan pendedahan produk bagi mendapatkan kepastian.
"Tuntutan biasanya dibuat berdasarkan kos pembinaan semula. Insiden yang berlaku pada 1 April itu menyebabkan kerosakan harta benda yang besar serta kecederaan dan mereka berhak menuntut pampasan daripada pihak yang terbukti cuai," katanya kepada BH.
Kim Soon berkata, kebanyakan polisi menetapkan tempoh pemberitahuan tuntutan antara tujuh hingga 14 hari selepas kejadian, namun dalam bencana berskala besar seperti di Putra Heights, sesetengah syarikat insurans mungkin menawarkan tempoh ihsan bergantung kepada terma polisi.
"Syarikat insurans mula memproses tuntutan hanya 13 hari selepas letupan berlaku.
"Industri insurans am mengambil langkah proaktif bagi mempercepatkan proses tuntutan dan meringankan beban pemegang polisi yang terjejas," katanya.
Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan PIAM termasuk perkhidmatan tuntutan di lokasi kejadian, bayaran pendahuluan sementara penilaian dijalankan, penundaan kenderaan rosak ke bengkel panel, serta penyediaan kenderaan gantian bagi mereka yang mempunyai perlindungan kenderaan komprehensif.
"Tragedi berkenaan menjadi peringatan penting mengenai keperluan perlindungan insurans yang mencukupi.
"Kejadian di Putra Heights itu adalah peringatan yang menyentuh hati bahawa bencana boleh berlaku tanpa diduga dan perlindungan insurans yang mencukupi dapat mengurangkan kesusahan yang dihadapi mangsa dengan ketara," katanya.