OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pemetaan 3D, IR4.0 pantau utiliti bawah tanah

Pemetaan 3D, IR4.0 pantau utiliti bawah tanah

Bahang daripada tragedi letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, Puchong pastinya sudah mendingin, tetapi persoalannya masih hangat termasuk tahap pemantauan dan penyelenggaraan infrastruktur utiliti bawah tanah negara. Walaupun kita maklum punca sebenar kejadian itu masih dalam siasatan pihak berkuasa, ia sewajarnya mencetuskan tekad dan komitmen untuk menyemak semula bagaimana jaringan infrastruktur itu dipantau dan diselenggara, termasuk dengan memanfaatkan teknologi terutama Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Pakar seperti dalam laporan eksklusif akhbar ini mengakui tiada kemas kini data baharu terhadap jajaran dan kedudukan paip gas bawah tanah selepas bertahun-tahun pembinaan dan pembangunan infrastruktur disiapkan, mencetuskan risiko keselamatan kepada orang awam. Pakar dan perunding pemetaan negara, Jalal Johari yang juga Profesor Adjung Universiti Geomatika Malaysia, menegaskan banyak saluran paip gas di negara ini tidak mempunyai pelan siap bina atau as-built lengkap, sekali gus sukar untuk memastikan keselamatannya.

Pandangan pakar sebegini tentu perlu diberikan perhatian, apatah lagi Malaysia sebenarnya sudah mempunyai Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan (PADU) dibangunkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Tujuan PADU amat jelas, iaitu untuk mengumpul, menyelaras dan menyimpan maklumat lengkap berkaitan paip gas, kabel elektrik, pembetungan, air dan utiliti lain bawah tanah.

Hakikatnya, masalahnya bukan pada ketiadaan sistem, tetapi kelemahan dalam penyelarasan, kemas kini maklumat dan integrasi antara agensi. Secara teorinya dengan kewujudan pangkalan data sebegini, semua gerak kerja agensi dan syarikat utiliti sepatutnya tidak lagi secara silo. Malangnya, kita melihat seolah-olah setiap entiti ibarat melepaskan pucuk masing-masing sehingga tidak hairan timbul jenaka dalam kalangan masyarakat; 'selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) tar jalan, esok syarikat utiliti air akan korek lubang dan lusa pihak lain pula gali untuk baiki parit serta saliran bawah tanah'.

Kita harus lebih serius terhadap pengurusan utiliti bawah tanah, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar yang semakin padat serta kompleks. Kebergantungan kepada pelan lama atau pemeriksaan manual tidak lagi cukup pada era IR4.0. Penggunaan teknologi pemetaan digital, dron, sensor bawah tanah dan sistem maklumat geografi (GIS) bukan lagi tambahan, sebaliknya keperluan asas.

Negara seperti Singapura dan Korea Selatan sudah lama melaksanakan sistem pemetaan 3D utiliti bawah tanah secara berpusat, sekali gus boleh dicapai oleh semua pemegang taruh. Kita yakin kerajaan, khususnya JUPEM menyedari dan menyatakan komitmen untuk membangunkannya, tetapi sejauh mana ia dilaksanakan atau berdepan dengan isu kekangan kewangan terutama pelaburan dalam mendapatkan kepakaran serta teknologi diperlukan.

Realitinya ketika kita bercakap soal pembangunan, keselamatan awam dan keselesaan penduduk perlu berada pada senarai keutamaan yang diterjemahkan dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan. Sudah tiba masanya pengurusan utiliti bawah tanah dipandang sebagai aset strategik negara yang perlu diuruskan dengan ketepatan dan kecekapan menggunakan teknologi canggih supaya kita tidak lagi bersikap 'sudah terhantuk baru terngadah'.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search