Malaysia mahu Myanmar lanjut gencatan senjata
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Malaysia meminta Myanmar melanjutkan gencatan senjata antara pihak bertelagah di negara itu bagi membolehkan bantuan kepada mangsa gempa bumi disalurkan dengan selamat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesej itu disampaikannya kepada dua pemimpin bertelagah di Myanmar iaitu Majlis Pentadbiran Negara (SAC) dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dalam pertemuan di Bangkok, semalam.
“Keutamaan mesti diberikan kepada usaha kemanusiaan dan pembinaan semula. Pada masa sama, mereka melakukan apa sahaja yang perlu bagi menge-lakkan lanjutan pertempuran,” katanya di Majlis Aidilfitri Kementerian Kewangan, di sini, semalam.
Anwar berada di Bangkok untuk lawatan kerja dua hari sejak kelmarin turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SAC, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing kelmarin dan mengadakan mesyuarat secara maya dengan pemimpin NUG, Mahn Win Khaing Than, pagi semalam.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN itu mengadakan pertemuan lebih sejam bersama Min Aung Hlaing yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra merangkap Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN.
Anwar turut menyambut baik langkah terkini untuk meredakan ketegangan termasuk pembebasan 4,800 tahanan yang disifatkannya amat bermakna.
Perbincangan bersama Mahn Win Khaing Than memberi tumpuan kepada keperluan kemanusiaan yang mendesak bagi rakyat negara terbabit dan kepentingan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua organisasi tersebut atas pendirian tegas mereka bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara aman.
Ketika ditanya sama ada negara anggota ASEAN akan membincangkan isu berkaitan blok itu, Anwar berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya.
“Saya perlu berunding dengan pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain.
“Ini kerana pendirian ASEAN adalah untuk meneruskan penglibatan, konsensus lima perkara serta perbincangan inklusif dengan semua pihak, dan kemudian saya akan membawa perkara ini semula kepada ASEAN,” katanya.
Pemimpin Junta Myanmar mengumumkan gencatan senjata 20 pada 2 April 2 lalu yang dipersetujui pemimpin pembangkang NUG ekoran gempa bumi kuat di negara itu pada 28 Mac lalu yang membunuh lebih 3,600 orang.
Langkah itu bertujuan membolehkan bantuan disalurkan kepada mangsa dan pemulihan akibat kemusnahan gempa tersebut dapat dilakukan.
Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan kenyataan bekas hos Foxs News, Bill O’Reilly yang menghina dan memperlekehkan orang Melayu menggambarkan sikap ekstrem, keangkuhan sesetengah pihak yang jahil dan dangkal ilmu.
Katanya, pemikiran sebegitu menunjukkan dia hanya mahu menunjukkan kelompok dan negara mereka yang paling berjaya.
Sedangkan, tegas beliau, mereka tentunya tidak ada kefahaman sama sekali tentang Asia, ASEAN dan perkembangan terbaharu hubungan dagangan antara rantau ini apabila menyatakan Melayu tidak ada duit untuk membeli barang dari China.
“Ini yang kita sebut dalam bidang ilmu sosial sebagai pemikiran yang terperangkap, pemikiran yang terbawa-bawa dengan sikap imperialis dan penjajah.
“Jadi kita jangan terlalu gusar dengan perkara yang masih tiada. Ini akan ada sikap Islamofobia, anti kaum lain kerana kejahilan,” katanya.
O’Reilly yang kini adalah pengulas politik konservatif AS, mengeluarkan kenyataan itu dalam usaha memperlekeh lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja.
Dalam hantaran di X, dia mengatakan penduduk di negara-negara yang dilawati oleh Xi itu termasuk menyebut ‘Melayu’ sebagai tidak ada wang untuk membantu China yang kini dikenakan tarif lebih 200 peratus oleh AS.
Dia turut memperlekehkan lawatan yang bertujuan mengukuhkan hubungan serantau itu dengan mengatakan Xi ke negara-negara terbabit dengan tujuan untuk menyeludup barang. – UTUSAN