Saya ingat ajal sudah sampai – Mangsa tragedi letupan Putra Heights
- Admin UKK
- Berita
SUBANG JAYA: “Saya betul-betul rasa ajal sudah sampai. Memang tidak sempat hendak fikir apa-apa, saya keluar dari rumah dan terus terjun sungai untuk selamatkan diri.”
Demikian luahan seorang peniaga, Ahmad Abdullah, 65, ketika mengimbas semula detik cemas letupan saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru dekat sini itu berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat disusuli gegaran sebelum bergegas menyelamatkan diri bersama ahli keluarga pada pagi kejadian.
“Masa itu saya sekeluarga berada di rumah, anak cucu semua masih tidur. Ketika kejadian, saya sempat capai telefon, kemudian kami semua lari bertempiaran.
“Saya masa itu tak fikir apa-apa, terus selamatkan diri terjun sungai. Kemudian pegang batu di tepi. Hampir dua jam saya berlindung di situ.
“Bunyi letupan sangat kuat sehingga bulu roma saya meremang. Itulah kali pertama saya dengar bunyi deruan sekuat itu, memang menakutkan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.
Dalam kejadian 1 April lalu, saluran paip gas Petronas di Persiaran Harmoni, Putra Heights meletup dan mengakibatkan telah mengakibatkan lebih 50 buah rumah di taman perumahan itu dan Kampung Kuala Sungai Baru rosak sepenuhnya akibat terkena bahang api.
Menurut Ahmad, suasana ketika itu sangat kelam-kabut sehinggakan ramai jiran tetangganya lari sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan sebarang dokumen pengenalan diri atau barangan berharga.
Katanya, rumahnya turut mengalami kerosakan akibat letupan, namun bersyukur kerana masih diberi peluang untuk hidup.
“Atap rumah saya rosak dan berlubang-lubang, tapi syukur masih boleh didiami,” ujarnya.
Abdullah bagaimanapun berkata, sehingga kini ia masih belum menerima sebarang bantuan kewangan walaupun maklumat dirinya telah didaftarkan kepada beberapa agensi yang turun padang.
“RM5,000 tak dapat, RM3,000 pun tak dapat. Bila pergi tanya, mereka kata nama saya tidak ada dalam senarai,” ujarnya. – UTUSAN