Kebakaran hutan ancam keselamatan air minuman - Pakar
- Admin UKK
- Berita
SYDNEY: Kebakaran hutan berhampiran kawasan bandar semakin menjadi ancaman terhadap keselamatan air minuman, menurut pakar kualiti air dari Universiti Teknologi Sydney (UTS) pada Khamis, lapor Xinhua.
Penyelidik daripada Pusat Teknologi Air dan Air Buangan UTS menekankan bagaimana kebakaran boleh mencemarkan sistem pengagihan air minuman dan membawa risiko serius kepada kesihatan awam.
Menurut mereka, hampir setengah bilion penduduk di seluruh dunia telah mengalami kebakaran hutan dalam jarak satu kilometer dari kediaman mereka dalam tempoh 20 tahun lepas, dan menyeru kawasan yang terjejas oleh kebakaran terkini seperti di Los Angeles pada 2025 agar segera menjalankan ujian dan pemantauan terhadap bekalan air bagi mengesan pencemaran.
"Air mesti memenuhi piawaian keselamatan sebelum keluar dari loji rawatan, namun pencemaran boleh berlaku semasa proses pengagihan," menurut surat penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Science.
Kebakaran hutan boleh merosakkan paip plastik atau menyebabkan asap menyerap masuk ke dalam sistem yang kehilangan tekanan, sekali gus memperkenalkan sebatian organik meruap (VOC) berbahaya ke dalam air minuman, menurut penyelidikan itu.
Lebih 50 jenis VOC, termasuk bahan bersifat karsinogenik seperti benzena, telah dikesan dalam rangkaian bekalan air selepas kejadian kebakaran hutan, kata penulis utama Li Xuan.
Beliau memberi contoh bahawa 11 bulan selepas kebakaran di Santa Rosa, California Utara pada 2017, paras benzena dalam air minuman tempatan masih mencecah 40,000 mikrogram seliter - jauh melebihi had selamat.
Pendedahan sekejap kepada hanya 26 mikrogram seliter boleh memudaratkan kanak-kanak, manakala pendedahan jangka panjang meningkatkan risiko leukemia, kata Li sambil menambah bahawa bahan pencemar ini sering tidak dikesan, terutamanya di peringkat pengguna, menyebabkan komuniti tidak menyedari bahaya yang wujud.
Pengarang bersama Prof Wang Qilin memberi amaran bahawa perubahan iklim dan pembangunan bandar yang pesat meningkatkan risiko kebakaran hutan dan seterusnya mengancam keselamatan air.
Beliau menggesa kerajaan mengenal pasti bahan pencemar berkaitan kebakaran, menetapkan had keselamatan, serta melaksanakan protokol pemantauan yang ketat.
-- BERNAMA