OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Mangsa banjir tak pindah PPS masih layak dapat bantuan

Mangsa banjir tak pindah PPS masih layak dapat bantuan

KOTA KINABALU - Mangsa banjir yang tidak dapat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tetap layak menerima bantuan kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Perkara itu ditegaskan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP-Dilantik) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.

"Untuk makluman, setakat ini memang segala bantuan yang akan disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) atau jawatankuasa peringkat daerah negeri adalah tertakluk pada Arahan Nadma No 1 iaitu bantuan wang ihsan ini hanya diberikan kepada mereka yang berpindah dan didaftar di PPS.

"Namun sekiranya ada mangsa-mangsa banjir tidak dapat ke PPS yang terdekat, disebabkan jalan terputus atau banjir teruk akan membahayakan nyawa mereka, maka mereka sebenarnya layak dapat bantuan barang makanan yang disampaikan JKM dengan bantuan agensi penyelamat," katanya.

 

Nizam turut menyatakan bahawa beliau memahami kebimbangan yang disuarakan oleh Yong Teck Lee memandangkan situasi sama turut berlaku di kawasannya.

"Di tempat saya pun berlaku begitu, namun sebenarnya perkara ini akan dapat kita tangani secara satu persatu.

"Kerajaan tidaklah berlaku begitu zalim atau tidak prihatin sehingga rakyatnya yang memerlukan bantuan tidak diberikan pertolongan," katanya.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi menegaskan bahawa sebarang bantuan yang disalurkan adalah tertakluk kepada Arahan Nadma No 1.

Sebelum itu, Teck Lee berkata, bukan mudah untuk mangsa banjir untuk berpindah ke PPS jika terperangkap di rumah akibat banjir dan juga kejadian tanah runtuh yang menyebabkan jalan raya putus namun mereka memerlukan bantuan segera.

"Ada mangsa banjr lebih sesuai duduk sementara dengan keluarganya yang ada rumah di kampung yang sama dan tidak pergi ke PPS yang saya dapat maklum balas.

"Tapi mereka ini tidak layak menerima bantuan kerana tidak ke PPS walhal bukan mudah untuk mereka ke PPS dan lebih sesuai untuk ke rumah ahli keluarga, bukankah ini dikira realiti di lapangan.

"Peraturan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kita faham tetapi inilah realiti di lapangan, ada juga keluarga tidak sempat pergi ke PPS, kemudian terpaksa berulang alik, minta pengesahan dan juga salinan kad pengenalan sedangkan kampung sudah dilanda banjir.

"Sudah susah dilanda banjir, tambah lagi susah. Jadi diharap menteri dapat berikan jawapan dan meneliti semula peraturan MKN dan Nadma mengikut realiti di lapangan," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search