OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Malaysia minta Myanmar lanjutkan gencatan senjata

Malaysia minta Myanmar lanjutkan gencatan senjata

PUTRAJAYA: Malaysia akan me­­minta junta tentera Myan­mar melanjutkan tempoh gencatan senjata di negara itu bagi memboleh­kan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat gempa bumi.

Perkara itu akan dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan sulung beliau selaku Pengerusi ASEAN dengan Ke­tua Tentera Myan­mar, Min Aung Hlaing di Bangkok, Khamis ini.

“Saya minta diredakan dan dihentikan kegiatan ketente­raan ketika orang te­ngah sengsara.

“Mudah-mudahan dalam per­­binca­ngan saya dengan Perdana Menteri Myanmar pada 17 April ini saya minta dilanjutkan gencatan senjata itu kerana alasan kita mahu hantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan menjamin ke­selamatan mereka.

“Pasukan kita terbukti antara yang terbaik dalam kalangan negara ASEAN, bukan sahaja dari segi latihan, tetapi juga kelengkapan yang kita bawa,” katanya pada perjumpaan bersama warga Kementerian Kewa­ngan di sini, semalam.Perdana Menteri berkata, beliau ke Bangkok bagi menghadiri mesyuarat penting bersama Penasihat ASEAN dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

Justeru, beliau akan menggunakan kesempatan itu untuk bertemu pemimpin Myanmar yang telah mengumumkan gencatan senjata pada 17 hingga 22 April ini selepas beliau mewakili ASEAN menyuarakan permintaan tersebut.

Meskipun hubungan diplomatik ASEAN-Myanmar kini dibatasi oleh konsensus lima perkara, Anwar menegaskan, pertemuan itu semata-mata atas dasar kemanusiaan kerana malapetaka yang dihadapi rak­yat negara itu akibat gempa bumi agak parah.

Anwar berkata, beliau akan turut menyuarakan kepada pemimpin Myanmar itu supaya menghentikan serangan terhadap golongan musuh politik dan kawasan bergolak seperti wilayah Karen dan Rakhine, agar rundi­ngan seterusnya dapat dijalankan secara aman dan berkesan.

“Jemaah Menteri turut bersetuju untuk meneruskan bantuan melalui hospital medan yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia,” katanya yang akan ke Bangkok selepas berakhir lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.

Menurut Anwar, pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Thailand untuk menyelesaikan isu berkaitan Sungai Golok yang menjadi punca kepada banjir berulang di selatan Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan.

Katanya, langkah itu penting bagi menyelesaikan masalah berkenaan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat di sempadan.

“(Antara perkara yang akan dibincangkan) ialah cadangan (membina) jambatan (antara kedua-dua negara), kerja-kerja pengorekan dan pembersihan Sungai Golok yang menyebabkan kebanjiran di kawasan Selatan Thailand dan Kelantan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menangkis pandangan sinis segelintir pihak yang mempersoalkan keprihatinan kerajaan terhadap krisis luar negara terutama di Myanmar ketika ini berbanding isu rakyat tempatan.

“Kalau tidak selesai masalah Myanmar, (kesannya akan sampai ke sini) apabila lebih 200,000 pelarian Rohingya datang ke Malaysia. Penyeludupan candu, opium (dadah) akan meningkat.

“Rundingan antara dua negara dan ASEAN agak terbatas. Jadi ada kebijaksanaan untuk kita rangkul kekuatan bersama,” jelasnya. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search