OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Insiden Putra Heights: Bilik solat kekal sempurna, rumah kategori musnah

Insiden Putra Heights: Bilik solat kekal sempurna, rumah kategori musnah

Subang Jaya: "Syukur kepada Allah apabila melihat bilik solat di rumah saya masih dalam keadaan sempurna," kata Ahmad Baharudin Hamid, 56, mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini, dua minggu lalu.

Ahmad berkata, dia hanya menyedari mengenai keadaan bilik solat itu apabila melakukan pemeriksaan bagi penilaian kerosakan di rumahnya, dua hari selepas kejadian.

"Berdasarkan kerosakan, rumah saya dikategorikan sebagai musnah sepenuhnya apabila bumbung dan wayar rosak. Malah, ruang tamu saya dipenuhi debu apabila kesemua perabot menjadi abu.

"Namun bila saya periksa bilik solat, saya dapati tiada kerosakan seperti di bilik-bilik lain dengan barangan seperti sejadah, telekung dan al-Quran masih dalam keadaan baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, rumah di Kampung Kuala Sungai Baru itu yang didiami mereka sekeluarga sejak lima tahun lalu mempunyai enam bilik termasuk bilik solat berkenaan.

"Sewaktu bina rumah itu, memang saya khususkan sebuah bilik solat yang dilengkapi dengan tempat wuduk supaya mudah untuk solat bukan sahaja kepada kami tetapi juga kepada tetamu," katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga kini menetap di sebuah kediaman Airbnb di Subang sementara menunggu rumah untuk disewanya yang dalam proses penyelenggaraan.

"Saya akan menyewa sebuah rumah inap di kawasan berhampiran dengan rumah dengan harga RM2,000 sebulan supaya senang untuk pantau keadaan rumah.

"Malah, rumah itu juga sudah ada semua kelengkapan yang memudahkan urusan harian kami sekeluarga memandangkan banyak barang kami musnah akibat kebakaran itu," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video dimuat naik di akaun Tik Tok Exco Pengurusan Bencana Selangor, Mohd Najwan Halimi yang menunjukkan keadaan bilik solat di rumah Ahmad dalam keadaan baik tular di media sosial, hari ini.

Mohd Najwan berkata, beliau memuat naik video itu sebagai satu elemen positif yang boleh memberi pengajaran dan keinsafan kepada umat Islam.

"Selain bilik solat ini, saya juga dimaklumkan mengenai sebuah kereta yang rosak teruk akibat cair kerana bahang letupan itu. Namun, ayat Kursi yang digantung di bahagian cermin pandang belakang dalam kereta itu dalam keadaan elok.

"Saya lihat apa yang berlaku ini sebagai tanda kebesaran Allah SWT yang melindungi serta menjaga bilik solat dan ayat kursi berkenaan dengan baik," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search