Pembersihan mega di dua kawasan terjejas letupan paip gas
- Admin UKK
- Berita
SUBANG JAYA: Program pembersihan mega akan dijalankan selama dua hari di dua kawasan yang terjejas dengan letupan salur paip gas di Putra Heights di sini bermula hari ini dan esok yang diketuai oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja pembersihan itu akan mengambil masa dua hingga tiga jam setiap hari dengan penglibatan 1,402 petugas dari pelbagai agensi.
Jelasnya, kerja pembersihan itu juga akan melibatkan kawasan perumahan Taman Putra Heights dan kampung Kuala Sungai Baru.
“Sebelum ini banyak tumpuan kerja pembersihan dilaksanakan di Taman Putra Harmoni dan Putra Heights kerana kebenaran telah diberikan oleh pihak berkuasa.
“Dan baru beberapa hari lepas pihak berkuasa membenarkan untuk Kampung Kuala Sungai Baru dibersihkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, semalam.
Tambah Amirudin, setakat semalam, lebih 100 tan sampah dan kotoran berjaya dikeluarkan oleh pihak KDEB Waste Management Sdn. Bhd..
“Kita juga meminta bantuan jentera daripada semua pihak berkuasa tempatan (PBT). Selain itu kita datangkan juga sokongan daripada pihak Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
“Kita yakin dapat melakukan pembersihan segera, jika tidak ini akan meneruskan trauma kepada penduduk yang sudah mula tinggal di sana,” katanya.
Pada masa sama, Amiruddin berkata, kawalan keselamatan di kawasan perumahan terbabit akan dilonggarkan sebaik sahaja kerja pembersihan selesai dilaksanakan.
“Saya akan hubungi Ketua Polis Selangor untuk melihat supaya tidak ada berlaku insiden-insiden yang tidak kita ingini. Ada orang mengambil kesempatan, ada kes kecurian dan sebagainya.
“Fokus kawalan kita ialah di ‘Ground Zero’ ataupun di kawasan bencana kerana selepas ini kita akan membenarkan pula mangsa yang ada kerosakan kecil untuk mula membaiki kerosakan mereka alami,” katanya. – UTUSAN