'Mohon jangan abai mangsa dari kampung' - Mangsa kebakaran Putra Heights
- Admin UKK
- Berita
MANGSA letupan paip gas bawah tanah Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada hari kedua Aidilfitri dari kampung-kampung di sekitar lokasi kejadian tidak seharusnya diabai.
Selain bantuan perubatan, pihak berkaitan boleh menyalurkan bantuan kerana kebanyakan mereka melarikan diri sehelai sepinggang kerana kebanyakan mereka melarikan diri sehelai sepinggang.
Salah seorang mangsa dari Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong, Muhammad Amirul Azhar Mohd Yasin, 28, memaklumkan ramai penduduk kampung yang terjejas.
"Kalau hendak mengira kos yang terjejas, penduduk Taman Putra Harmoni tentu lebih mahal jika hendak dibandingkan dengan penduduk kampung.
"Tetapi penduduk kampung yang terkesan dengan insiden ini pun ramai. Walaupun rumah yang dibeli mereka itu (bernilai) RM70,000 hingga RM100,000, namun mereka tidak memiliki wang sebanyak yang dimiliki penduduk Taman Putra Harmoni.
"Bayangkan, jika mangsa itu nenek tua, mana hendak cari duit untuk bina rumah semula. "Saya harap orang ramai dapat lihat sebenarnya yang lebih terkesan penduduk Kampung Kuala Sungai Baru kerana mereka kebanyakannya bukanlah orang senang
"Walaupun rumah mereka tidak mahal tidak banyak kos diperlukan tetapi (kejadian itu) memberi kesan besar kepada individu itu. "Mereka sendiri adalah orang yang tidak senang," katanya.
Ditanya mengenai bantuan yang diperlukan, Muhammad Amirul Azhar meminta pihak berkenaan tidak melupakan mangsa yang dirawat di hospital. "Saya berharap semua pihak sama-sama membantu semua pihak yang terlibat dalam kebakaran ini.
"Bukan hanya mereka (mangsa) yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sahaja perlu dibantu kerana yang sakit kebanyakannya kini berada di hospital.
"Mereka di hospital tidak dapat bantuan yang sepatutnya. Perlu tahu di mana bantuan yang sebenarnya perlu disalurkan," katanya.
Sementara itu, isteri Muhammad Amirul Azhar, Nur Izzati Alia Nur Izzati Alia Zainuddin, 28, turut berharap penduduk kampung yang terjejas mendapat perhatian pihak yang terlibat.
"Diharapkan kemunculan kami menerusi audio siar Borak Bibir Merah SinarPlus ini sedikit sebanyak membantu penduduk kampung," katanya.
Terdahulu, SinarPlus melaporkan seramai sembilan ahli keluarga Muhammad Amirul Azhar termasuk seorang kanak-kanak turut mengalami kecederaan melecur pada anggota badan dan menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Dalam kejadian pada 1 April lalu, rumah mentuanya yang didiaminya terletak hanya 50 meter dari lokasi letupan musnah. Letupan pada 2 Syawal itu mengakibatkan sembilan sekeluarga berusia 85 hingga empat tahun cedera melecur.
Difahamkan, sebanyak 39 buah rumah di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong musnah sepenuhnya.
Selain Kampung Kuala Sungai Baru, kebakaran mengerikan yang mengambil masa selama lapan jam untuk dipadamkan itu turut menjejaskan penduduk Kampung Sungai Baru dan Kampung Tengah, Puchong.