OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Penduduk terjejas letupan paip gas masih trauma, keliru mengenai masa depan - Tunku Puteri Intan Shafinaz

Penduduk terjejas letupan paip gas masih trauma, keliru mengenai masa depan - Tunku Puteri Intan Shafinaz

SUBANG JAYA: Penduduk yang sedang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat kerosakan rumah kerana letupan paip gas bawah tanah dekat Putra Heights di sini, masih keliru serta runsing mengenai masa depan mereka.

Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah, berkata antara yang menjadi kerisauan utama mereka adalah mengenai tempat tinggal untuk meneruskan kehidupan.

 

"Antara yang menjadi kerisauan mereka seperti di mana mereka akan tinggal, nak cari rumah sewa yang sesuai untuk anak dan ada yang risau mengenai situasi ibu bapa yang masih di hospital.

"Ada juga anak-anak yang masih trauma dan susah hati akibat ketiadaan barangan termasuk permainan dan barangan keperluan yang mana memang perkara biasa untuk bencana seperti ini," katanya.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkongsi luahan penduduk terbabit kepada pemberita selepas melawat penduduk terjejas di PPS Masjid Putra Heights di sini hari ini.

Susulan beliau meminta agensi kerajaan terus bekerjasama dalam memberi sokongan terhadap keperluan jangka masa panjang mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, di sini.

Katanya, ketika ini beliau melihat kerjasama baik di antara agensi kerajaan dalam memberi sokongan jangka pendek yang diperlukan mangsa seperti infrastruktur, dokumentasi dan sebagainya.

Susulan itu, beliau mengharapkan kesinambungan kerjasama itu diteruskan di masa hadapan, termasuk sokongan terhadap keperluan mangsa bagi tempoh jangka masa panjang.

"Keperluan jangka masa panjang juga sangat penting seperti bantuan jangka masa pendek. Untuk sekarang ini, kita hanya mampu beri bantuan dari segi sukarelawan termasuk barangan keperluan.

"Namun, apa yang terpenting adalah bantuan jangka masa panjang iaitu bagaimana mangsa dapat membina semula kehidupan yang terkesan termasuk apabila mereka kehilangan rumah dan harta benda," katanya.

Sementara itu, petugas BBSM turun padang membantu mangsa yang terkesan sejurus kejadian itu berlaku pada 1 April lalu.

Ini kerana kebakaran besar yang tercetus akibat letupan paip gas di Putra Heights pada hari kedua sambutan Aidilfitri itu, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search