Mangsa tidak sabar pulang selepas lokasi disahkan selamat
- Admin UKK
- Berita
Subang Jaya: Genap lapan hari berada di pusat pemindahan sementara (PPS), mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini, meluahkan perasaan tidak sabar untuk pulang ke kediaman masing-masing.
Pembantu penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Muhammad Syukri Shuhaimy Bashar, 36, berkata rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru yang terletak 150 meter dari lokasi kejadian sudah disahkan selamat untuk didiami oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, katanya dia sekeluarga memilih menetap di PPS untuk beberapa hari lagi, sementara kerja-kerja pembaikan dilakukan.
"Semua tingkap pecah dan paip air di rumah mencair akibat bahang insiden itu. Saya bercadang baiki sendiri kerana jika upah kontraktor agak sukar dan perlukan modal yang tinggi.
"Pihak berkuasa sudah beri pas akses kepada penduduk (yang rumah selamat diduduki) untuk kami keluar masuk, selesaikan apa yang patut.
"Jika semuanya selesai, insya-Allah saya dan keluarga pulang ke rumah Ahad ini," kata bapa kepada empat anak itu ketika ditemui di PPS Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.
Muhammad Syukri berkata, dia tidak pasti sama ada rumah sewanya itu dilindungi insurans atau sebaliknya, dan menyerahkan perkara terbabit kepada pemilik rumah.
Menurutnya, dia bersyukur kerana menerima bantuan RM5,000 yang disalurkan Kerajaan Persekutuan dan Petronas.
"Alhamdulillah, saya akan manfaatkan wang ini untuk kerja-kerja pembaikan rumah dan keperluan keluarga buat sementara waktu ini," katanya.
Seorang lagi mangsa, Tajul Ariffin Miskun, 46, mengakui masih menunggu bantuan perumahan yang diumumkan kerajaan negeri selepas bilik sewanya di Kampung Kuala Sungai Baru musnah dalam kebakaran terbabit.
"Sejak pulang dari hospital pada semalam, saya berlindung di PPS kerana belum mempunyai kediaman lain untuk didiami.
"Bilik sewa saya hangus terbakar. Buat masa ini, saya masih dalam cuti sakit dan belum sihat sepenuhnya. Jadi saya belum bersedia untuk keluar dari sini.
"Saya tunggu beberapa bantuan yang masih belum dapat. Bila semuanya selesai dan keadaan kesihatan makin baik, saya rancang untuk keluar dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.
Tajul yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia tinggal seorang diri dan buat masa ini selesa dengan kemudahan di PPS yang lengkap serta teratur.
"Saya difahamkan, kerajaan negeri ada umum nak bantu bayarkan sewa rumah mangsa. Tapi saya tak pasti lagi sebab masa pengumuman dibuat, saya masih di hospital," katanya.
Katanya, setakat ini dia belum menerima maklumat lanjut dan masih menanti pengesahan sebelum membuat keputusan keluar dari PPS.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan 130 rumah yang terjejas dalam insiden terbabit disahkan selamat dan penghuninya kini dibenarkan pulang.
Angka itu mewakili hampir separuh daripada keseluruhan 235 unit rumah di kawasan terbabit, hasil penilaian keselamatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan agensi teknikal.