9,000 pokok tembikai musnah ditenggelami banjir kilat
- Admin UKK
- Berita
SETIU - Kira-kira 9,000 pokok tembikai yang diusahakan di kebun seluas 2.4 hektar di Kampung Nyatuh, dekat sini, musnah akibat ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat, Rabu lalu.
Keadaan itu menyebabkan tiga pemilik kebun berkenaan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM15,000 selepas hasil tanaman yang hampir matang tidak sempat dituai.
Menurut Mohd Nasirudin Ibrahim, 36, kejadian berlaku selepas hujan lebat dalam tempoh kurang 12 jam menyebabkan air melimpah masuk ke kawasan kebun mereka.
“Kami tak sangka hujan turun selepas cuaca panas lebih sebulan. Air naik terlalu cepat dan hingga hari ini masih bertakung. Kesemua 9,000 pokok dan buah tembikai rosak begitu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Isnin.
Mohd Nasirudin berkata, kebun itu diusahakan bersama abangnya, Mohd Azhar Ibrahim, 44, dan iparnya, Che Mohd Ariffin Che Ngah, 25, sejak awal Mac lalu dan dijangka dituai dalam tempoh tiga minggu lagi.
Sementara itu, Mohd Azhar berkata, sebelum ini mereka telah mengeluarkan RM650 untuk menyewa jentera berat bagi membersihkan saliran dan membina parit baharu, namun tidak berhasil.
Katanya, banjir kali ini merupakan kejadian kedua selepas dilanda bencana serupa pada 2022.
“Kebun kami terletak kira-kira 200 hingga 300 meter dari Sungai Setiu. Kali ini air sungai melimpah dan sistem saliran sedia ada gagal menampung jumlah air,” katanya.
Che Mohd Ariffin pula menyifatkan mereka terpaksa menanggung kerugian berganda selepas harga tembikai jatuh mendadak musim lalu.
“Dulu harga tembikai RM2 sekilogram dan jatuh kepada 50 sen. Kami guna semula hasil jualan lepas untuk pusingan ini, tapi semuanya lebur apabila dilanda banjir kilat,” ujarnya.