‘DALAM SUSAH KITA BERSATU’
- Admin UKK
- Berita
“Tak kira bangsa atau agama apa, saya tetap bantu sesiapa sahaja yang memerlukan,” kata sukarelawan, Shermina Farissa Ali, 24, yang membantu mangsa letupan saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini.
Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berketurunan Cina-Melanau itu berkata dia terpanggil untuk menyertai misi bantuan selepas melihat hebahan di Instagram universiti.
“Saya memang tak kisah latar belakang kaum atau agama seseorang. Niat saya hanya mahu bantu mereka yang memerlukan,” katanya yang membesar di Kuala Lumpur dan kini menetap di USJ.
Shermina juga kagum dengan semangat terbuka mangsa di PPS, meskipun pada awalnya ada sedi- kit kekeliruan di- sebabkan penampilannya.
“Saya gunakan Bahasa Melayu bila berkomunikasi dan mereka sangat menerima. Saya rasa ini yang istimewanya tentang rakyat Malaysia kerana dalam waktu susah, kita tetap saling membantu,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan, Eldric Ong Wei Chuen, 21, juga tidak kekok berada dalam kalangan mangsa berbangsa Melayu walaupun ini pengalaman pertamanya menyertai misi bantuan seperti itu.
Pelajar tahun pertama jurusan perubatan Unimas itu berkata, dia terdorong untuk menyertai selepas melihat hebahan menerusi WhatsApp dan Instagram kelab sukarelawan universiti. “Walaupun saya Cina, saya tak pernah rasa janggal. Saya tinggal di Klang, jadi rasa bertanggungjawab nak turun bantu.
“Bagi saya, kalau ada sesiapa perlukan bantuan, tak kira bangsa, saya akan bantu,” katanya.
Menurut Eldric, sepanjang tiga hari membantu di PPS, dia dan rakan-rakan ditugaskan mengagihkan sumbangan barangan keperluan seperti pakaian dan makanan.
Tambahnya, insiden itu membuka mata ramai pihak bahawa semangat perpaduan masih utuh dalam kalangan rakyat Malaysia. “Saya lihat ada ramai juga dari kaum India dan Cina datang bantu. Malah, ada sukarelawan Cina yang buat pertama kali masuk ke masjid kerana PPS diadakan di situ.
“Inilah Malaysia sebenar. Dalam kesusahan, kita tetap bersatu.” katanya.