25 mangsa insiden Putra Heights terima bantuan SUV, wang petrol RM100
- Admin UKK
- Berita
SUBANG JAYA: Seramai 25 mangsa insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, di sini, Selasa lalu, menerima bantuan kenderaan sementara, hari ini.
Kesemua mereka memperoleh bantuan kenderaan utiliti sukan (SUV) sumbangan pihak swasta serta wang petrol bernilai RM100.
Sesi penyerahan bantuan itu disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han, di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
Bercakap pada sidang media kemudian yang turut dihadiri Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Amirudin memaklumkan baki bantuan 25 lagi kenderaan sementara yang dipersetujui bersama syarikat terbabit sebelum ini, akan diserahkan kepada kumpulan kedua mangsa, seawal-awalnya Isnin ini.
Beliau berkata, keseluruhan kenderaan berkenaan akan digunakan mangsa secara percuma untuk tempoh selama sebulan.
"Saya berterima kasih kepada syarikat yang sudah menunaikan janjinya. Malah, mereka juga memberikan duit petrol bernilai RM100 kepada peminjam kereta terbabit.
"Syarikat sama turut menyumbangkan RM50,000 kepada pengurusan Masjid Putra Heights bagi menampung kos utiliti sepanjang premis ini dijadikan PPS," katanya.
Setakat ini, Amirudin berkata, pihaknya menerima 112 permohonan daripada mangsa insiden terbabit yang memerlukan bantuan kenderaan sementara.
Beliau turut memaklumkan hingga kini, pihaknya telah menerima tawaran lebih 200 kenderaan sementara yang bersedia untuk dipinjamkan kepada mangsa, daripada pelbagai entiti korporat.
"Kita menerima komitmen membabitkan 50 kenderaan daripada Carsome, Carro (30), GoCar (20), dan DRB-Hicom (62)," katanya.