Selangor tawar lebih 100 rumah sementara kepada mangsa kes letupan paip gas
- Admin UKK
- Berita
SUBANG JAYA: Lebih 100 rumah sementara bakal ditawarkan kepada mangsa insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata tawaran itu dibuat menerusi skim SMART Sewa Selangor dengan sebahagian kadar sewaan akan ditanggung kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri ketika ini masih mengenal pasti lokasi kediaman sementara berkenaan, selain mangsa dijangka memasuki rumah itu mulai minggu depan.
"Rumah sementara ini akan disediakan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), selain turut mendapat kerjasama daripada pihak Airbnb.
"Sebahagian mangsa akan ditempatkan di Kota Warisan, Sepang, manakala bakinya bakal mendiami rumah di beberapa kawasan yang akan dikenal pasti kemudian.
"Kita cuba menyediakan rumah sementara di kawasan berhampiran, namun ia bergantung kepada ketersediaan dan jumlah unit rizab dalam pegangan kerajaan negeri," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han.
BH Selasa lalu melaporkan kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Kebakaran saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500 meter (m) yang bermula kira-kira jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.
Rentetan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penandaan terhadap struktur rumah terjejas bagi mengenal pasti tahap keselamatannya, sebelum pasukan penyiasat memulakan tindakan lanjut.
Sementara itu, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, lebih ramai mangsa dijangka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, kumpulan kedua yang akan dibenar pulang itu membabitkan baki daripada 115 rumah yang dikenal pasti selamat untuk diduduki semula.
"Kumpulan kedua mangsa ini akan dibenarkan pulang ke kediaman mereka hari ini, selepas pihak berkuasa teknikal mengesahkan kediaman mereka selamat diduduki semula.
"Mereka hanya akan dibenarkan pulang selepas pihak berkuasa membuat sambungan semula perkhidmatan utiliti di lokasi ditetapkan," katanya.