Lapan mangsa terperangkap banjir dipindahkan
- Admin UKK
- Berita
KLUANG: Lapan orang berusia antara tujuh sehingga 60 tahun yang terperangkap akibat banjir di Kampung Tengah Renggam, diselamatkan pasukan bomba awal pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Ismail Mamat, dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam berkata, semua mangsa dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Renggam.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.10 pagi dan sepasukan lima anggota berserta sebuah jentera dari BBP Renggam bergegas ke tempat kejadian.
"Operasi menyelamatkan mangsa turut menggunakan bot dan keadaan cuaca di lokasi gerimis manakala paras air masih meningkat.
"Mangsa diselamatkan membabitkan dua lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Beliau berkata, operasi ditamatkan pada 5.04 pagi.