OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Junta Myanmar umum gencatan senjata sementara susulan gempa bumi

Junta Myanmar umum gencatan senjata sementara susulan gempa bumi

ISTANBUL: Junta tentera memerintah Myanmar mengumumkan gencatan senjata selama tiga minggu pada Rabu terhadap kumpulan pemberontak ekoran gempa bumi dahsyat yang meragut hampir 3,000 nyawa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Sebelum ini, junta menolak cadangan gencatan senjata daripada kumpulan pemberontak, yang bertujuan membolehkan operasi menyelamat dijalankan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, tentera Myanmar berkata bahawa gencatan senjata yang akan berkuat kuasa sehingga 22 April itu bertujuan untuk memudahkan usaha bantuan selepas bencana.

Pengumuman dibuat selepas laporan mengenai serangan terhadap konvoi bantuan Palang Merah China pada malam Selasa ketika kempen serangan udara terhadap kumpulan pemberontak.

Junta yang merampas kuasa pada 2021 turut memberi amaran kepada kumpulan itu supaya tidak melakukan sebarang gangguan.

Pengisytiharan gencatan senjata itu dibuat menjelang lawatan ketua junta, Min Aung Hlaing, ke Bangkok, Thailand bagi menghadiri sidang kemuncak serantau.

Menurut Kementerian Luar Thailand, Min Aung Hlaing dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Teluk Benggala bagi Kerjasama Teknikal dan Ekonomi Pelbagai Sektor (BIMSTEC) di Bangkok.

Lawatan itu adalah kunjungan pertamanya ke Bangkok sejak rampasan kuasa pada 2021 dan pada awalnya dijangka dibatalkan selepas Myanmar dilanda dua gempa bumi berukuran 7.7 dan 6.4 pada skala Richter pada Jumaat lalu.

Berdasarkan maklumat dari Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, jumlah kematian akibat bencana itu telah meningkat kepada hampi 3,000 orang, dengan 4,639 lagi cedera dan 373 masih hilang.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura dipetik Thai PBS sebagai berkata, 'Lawatan Min Aung Hlaing ke Sidang Kemuncak BIMSTEC keenam pada 4 April akan diteruskan'.

Bagaimanapun, tempoh keberadaan pemimpin junta itu di Bangkok tidak dinyatakan.

Sidang Kemuncak BIMSTEC yang berlangsung dari Rabu hingga Jumaat menghimpunkan tujuh negara anggota iaitu Thailand, Myanmar, India, Bangladesh, Nepal, Sri Lanka dan Bhutan.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search