OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Letupan paip gas: KEMAS pantau kebajikan anak tabika terjejas

Letupan paip gas: KEMAS pantau kebajikan anak tabika terjejas

JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Selangor telah digerakkan bagi memantau dan menyalurkan bantuan kepada komuniti Tabika yang terjejas dalam insiden letupan paip gas di Taman Putra Harmoni, Putra Heights, semalam.

 

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man, berkata pemantauan awal mendapati Tabika KEMAS Ar-Raudah Kampung Kuala Sungai Baru adalah premis paling hampir dengan lokasi kejadian, namun tidak mengalami sebarang kerosakan.

Bagaimanapun, katanya, lima buah rumah yang melibatkan dua keluarga murid Tabika Ar-Raudah dan tiga rumah milik Ahli Jawatankuasa (AJK) Tabika berkenaan musnah sepenuhnya dalam insiden itu.

“Dua lagi rumah milik Pengerusi Tabika dan seorang bekas pendidik Tabika turut mengalami kerosakan di beberapa bahagian akibat letupan berkenaan.

“Dalam kejadian itu, Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Tabika KEMAS, Mohd Saifullizam Mohd Shamhudi dan dua AJK, Mohd Khairul Amin Mohd Rashid serta Mohd Razi Mohd Rashid, mengalami kecederaan melecur akibat bahang letupan.

 

“Bekas pendidik Tabika KEMAS Ar-Raudah, Salbiyah Ariffin turut cedera di bahagian kaki ketika menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan KEMAS Selangor untuk meneruskan pemantauan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat komuniti Tabika lain yang turut terjejas.

Tambahnya, KEMAS akan berusaha memastikan kanak-kanak Tabika yang terkesan mendapat bantuan sewajarnya termasuk keperluan persekolahan mereka selepas kediaman keluarga mereka diselesaikan.

“Inisiatif ini penting bagi memastikan emosi anak-anak tidak terganggu selepas melalui pengalaman mencemaskan ini.

 

“Insya-Allah, KEMAS akan membantu sedaya upaya dalam memastikan mereka dapat kembali meneruskan sesi persekolahan dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua yang terkesan dalam kejadian tersebut.-WILAYAHKU

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search