Bantuan antarabangsa ke Myanmar selepas gempa bumi dahsyat
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA: Bantuan antarabangsa terus mengalir ke Myanmar susulan gempa bumi dahsyat yang melanda pada Jumaat, mengakibatkan kemusnahan dahsyat dan kehilangan nyawa.
Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter diikuti gegaran susulan 6.4 pada skala Richter menghancurkan beberapa wilayah, dengan kawasan paling terjejas teruk termasuk Naypyitaw, Mandalay, Tanintharyi, Bago dan Kayah.
Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar melaporkan kerosakan besar pada infrastruktur serta harta benda, sementara angka korban terus meningkat.
Selepas bencana itu, respons kemanusiaan global segera digerakkan, dengan negara-negara dan organisasi antarabangsa bergegas menyalurkan bantuan penting.
Menurut Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperuntukkan US$5 juta daripada Dana Tindak Balas Kecemasan Pusat untuk menyokong usaha bantuan kecemasan di kawasan yang paling terjejas.
Kesatuan Eropah pula menjanjikan EUR2.5 juta bagi membantu operasi bantuan dan pemulihan, manakala Persatuan Palang Merah Myanmar telah menghantar bekalan asas seperti selimut, terpal, dan kit kebersihan ke kawasan terjejas.
"Sukarelawan sedang membantu usaha respons di Mandalay, Sagaing dan Naypyitaw," menurut pusat itu dalam laporan terkini, sambil menambah bahawa Palang Merah Singapura memperuntukkan US$111,850 untuk usaha bantuan di Myanmar dan Thailand, di samping melancarkan kutipan dana awam.
Sementara itu, PLAN International sedang menjalankan penilaian di Mandalay dan bersedia untuk mengedarkan barangan bukan makanan seperti selimut, terpal dan bekalan air bersih.
Pertubuhan bukan kerajaan itu, yang memberi tumpuan kepada hak kanak-kanak dan kesaksamaan gender, turut melancarkan rayuan awam pada Sabtu bagi mengumpul dana tambahan untuk mangsa bencana.
India turut menghulurkan bantuan dengan menghantar 15.3 tan bekalan bantuan pada Sabtu.
Antara bahan yang dihantar termasuk khemah, beg tidur, selimut, makanan sedia dimakan, alat penapis air, kit kebersihan, lampu solar, dan bekalan perubatan penting.
Selain bantuan kewangan dan bekalan keperluan, beberapa pasukan penyelamat antarabangsa dikerahkan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat yang sedang berlangsung, menurut AHA Centre.
Pasukan Penyelamat Udara Pusat Kementerian Kawalan Kecemasan Rusia (EMERCOM), yang terdiri daripada 60 anggota dan dua ekor anjing pengesan, kini dalam perjalanan ke Myanmar, manakala Pasukan Mencari dan Menyelamat China menghantar 80 anggota serta tiga ekor anjing pengesan.
Pasukan Bantuan Perubatan Kanada juga mengerahkan Pasukan Perubatan Kecemasan yang terdiri daripada dua orang doktor dan seorang jururawat bagi menyediakan rawatan kesihatan asas serta perkhidmatan pengangkutan perubatan.
-- BERNAMA