Lebih 90 dikhuatiri terperangkap dalam blok pangsapuri yang musnah akibat gempa
- Admin UKK
- Berita
MANDALAY: Lebih 90 orang dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan sebuah blok pangsapuri di Mandalay, Myanmar yang musnah akibat gempa bumi dahsyat, kata seorang pegawai Palang Merah kepada AFP hari ini, ketika pasukan penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa.
Kondominium Sky Villa adalah antara bangunan di Mandalay yang paling teruk terjejas akibat gempa berkekuatan 7.7 magnitud semalam, dengan beberapa tingkat runtuh.
"Sehingga kini, sembilan terbunuh dan 44 mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat," kata pegawai Palang Merah di lokasi kejadian kepada AFP, dengan permintaan untuk tidak didedahkan identitinya.
"Lebih 90 orang mungkin berada di dalam bangunan. Kami masih berusaha mengumpulkan data kerana orang ramai terus memberi maklumat bahawa mereka sedang mencari ahli keluarga yang hilang."
Gempa bumi berkenaan meragut lebih 1,000 nyawa di Myanmar.
Ia adalah gempa terbesar yang melanda negara itu dalam beberapa dekad dengan Mandalay, bandar kedua terbesar dengan populasi lebih 1.7 juta, teruk terjejas.
Dua belas tingkat Kondominium Sky Villa kini menjadi enam tingkat akibat gempa. - AFP