OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Anggota SMART ketepikan kegembiraan menyambut raya demi membantu mangsa gempa bumi

Anggota SMART ketepikan kegembiraan menyambut raya demi membantu mangsa gempa bumi

CYBERJAYA: Hasrat sebahagian besar pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk berada bersama keluarga meraikan Aidilfitri beberapa hari lagi diketepikan selepas diarahkan membantu mangsa gempa bumi di Myanmar.

Seramai 50 pegawai dan anggota pasukan SMART di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan dihantar ke Yangon, Myanmar, mulai esok, bagi melaksanakan misi kemanusiaan susulan gempa bumi dengan magnitud 7.7 yang menggegarkan negara itu, semalam.

Mereka dijangka berada di sana bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di kawasan runtuhan antara 10 hingga 15 hari namun bergantung kepada situasi dan keadaan semasa.

Salah seorang anggota SMART mengikuti misi itu, Sarjan Sulaiman Syamsuddin berkata, misi itu adalah yang pertama dia dihantar menyertai misi SAR di luar negara.

Beliau yang bertugas di Pasukan Penyelamat Seksyen (Heavy Usar B) sejak enam tahun lalu mengakui ada perasaan sedih selepas terpaksa meninggalkan keluarga secara tiba-tiba demi misi negara.

"Tipulah kalau saya tak sedih, kerana sepatutnya saya, isteri dan tiga anak lelaki kami pulang ke kampung halaman di Pantai Timur Sabah, esok... kampung keluarga saya di Kunak dan isteri di Tawau .

"Namun, semalam, selepas kejadian gempa bumi di Myanmar dan Bangkok, Thailand, berlaku, kami di pasukan SMART sudah diarahkan untuk berada dalam keadaan siap sedia.

"Sekitar lewat petang semalam, saya dimaklumkan oleh pegawai saya antara individu yang akan terbabit dalam misi berkenaan dan ini bukanlah sesuatu yang sukar bagi saya kerana sebagai anggota Pasukan SMART, kami sudah menanamkan di dalam diri untuk sentiasa bersiap-siaga apabila diarahkan untuk apa saja tugasan," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Katanya, sebelum menyertai pasukan SMARt, beliau bertugas sebagai anggota tentera darat, jadi beliau sentiasa bersikap profesional terhadap tugas dan tanggungjawab terutama ketika bencana boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Demi memastikan keluarganya tidak terlepas dari kegembiraan Syawal, Sulaiman merancang supaya isteri dan anaknya beraya bersama keluarga abangnya di sini.

Isterinya, Norsia M Tahir, 36, berkata, dia sentiasa reda dengan situasi yang dilalui oleh suaminya demi tugas kepada negara walaupun menyedari sebarang bahaya yang bakal dilalui memandangkan lokasi SAR itu masih belum dijamin selamat.

"Saya faham tugasnya dan kini saya terpaksa menjalankan tanggungjawab cuba menggembirakan tiga anak kami yang tidak dapat beraya bersama bapa mereka.

"Saya tahu bahaya yang ada di hadapan mereka (Pasukan SMART) dan harap mereka dapat melakukan yang terbaik untuk membantu mangsa-mangsa gempa bumi di sana dan seterusnya suami dapat pulang dalam keadaan selamat," katanya.

Tanpa berselindung, katanya dia sememangnya rasa sedih apabila dimaklumkan mengenai perkara itu dan lebih sayu kerana terpaksa memaklumkan keluarganya tidak dapat pulang beraya di kampung, malam tadi.

Seorang lagi anggota Pasukan SMART, Syahir Azizi Abdul Aziz berkata, misi SAR gempa bumi di Myanmar adalah misi kedua yang dijalaninya selepas kejadian gempa bumi di Turkiye, pada Februari 2023.

"Bezanya, kejadian gempa bumi di Turkiye berlaku beberapa minggu sebelum puasa dan kejadian kali ini berlaku ketika puasa dan menjelang Hari Raya.

"Kami akan membawa segala peralatan logistik seperti alat memecah objek keras, alat mengesan mangsa yang masih terperangkap dan peralatan iris atau kamera mengesan mangsa di celah-celah runtuhan," katanya.

Dia turut berkongsi perasaan sedih kerana tidak dapat berhari raya bersama keluarga yang sepatutnya diraikan di kampung halaman di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

 
 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search