Enam daerah di Kedah dikenal pasti
- Admin UKK
- Berita
Enam daerah di Kedah dikenal pasti berisiko dilanda banjir kilat ketika fasa peralihan Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya yang bermula kelmarin.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, daerah terbabit adalah Pendang, Yan, Kuala Muda, Sik, Kulim dan Bandar Baharu.
“Fasa peralihan juga membawa ribut petir dan hujan lebat yang boleh menyebabkan pokok tumbang.
“Kita sentiasa berjaga-jaga bagi membolehkan respons pantas diberikan kepada kes kecemasan selain memantau kawasan sering banjir,” katanya selepas Majlis Pelancaran Op Prihatin 2025 sempena Perayaan Aidilfitri Peringkat Zon Utara di sini, semalam.
Beliau berkata, 990 anggota agensi itu di Kedah berada dalam keadaan siap siaga bagi mengendalikan kes kecemasan.
Fasa Peralihan Monsun diramal berterusan hingga Mei ini dengan rantau negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah, menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat.
Mengenai Op Prihatin yang bermula Jumaat ini hingga 6 April, Zairil Anuar berkata APM akan melakukan rondaan, mengendalikan pokok tumbang dan kes kemalangan.
Beliau berkata selain itu, APM melakukan pengoperasian dron bagi pemantauan udara terutama di kawasan sering berlaku bencana banjir di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Bernama