OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Berulang-alik lebih 30 kali selamatkan murid terkandas akibat banjir

Berulang-alik lebih 30 kali selamatkan murid terkandas akibat banjir

JOHOR BAHRU: "Nyawa lebih penting daripada barang. Kalau bukan kita yang bantu, siapa lagi?," kata Mohd Afiq Yuzaini yang menggunakan bot memancing untuk menyelamatkan lebih 100 murid yang terperangkap di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tampoi Utama di sini, dalam kejadian banjir buruk, Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, dia bersama tiga jiran di kediaman Villa Ros, Taman Tampoi Indah, di sini, meredah banjir sehingga paras leher untuk menyelamatkan ratusan murid terkandas seawal jam 11 pagi sehingga jam 8.30 malam.

Beliau mendapat maklumat daripada jiran yang memaklumkan anak mereka terperangkap disebabkan perkarangan sekolah dinaiki air pada jam kira-kira 10.30 pagi.

"Ketika itu saya fikir hanya saya yang ada bot, jadi saya dan jiran angkat bot ke kawasan banjir.

"Saya berulang-alik jalan kaki hampir satu kilometer, lebih 30 kali dari pagi sampai malam selamatkan murid, ada juga warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang memanggil minta tolong.

"Enjin bot memang tak boleh pakai sebab bukan semua kawasan banjir dalam, jadi memang kami tolak saja," katanya ketika ditemui di Villa Ros, di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam kesibukan menyelamatkan nyawa orang lain, kediamannya turut ditenggelami air dan memastikan isteri, bayi lelaki dan dua kucing peliharaan di kediamannya selamat.

"Ayah, Yuzaini Mohd Yusop, 55, datang membantu dari Singapura. Ketika jam 1.30 tengah hari, ayah sempat selamatkan kereta saya yang diletakkan di hadapan rumah, tetapi keretanya pula tidak sempat dikeluarkan dan rosak akibat banjir.

"Isteri dan anak sudah naik di tingkat dua rumah, dokumen banyak tidak dapat diselamatkan.

"Naluri saya sebagai bapa mendorong saya bersama jiran dan ayah menyelamatkan murid sekolah. Kalau ikutkan memang penat seharian dalam air banjir, menolak bot sejauh satu kilometer dan berulang-alik.

"Ditambah bot saya pula ada kebocoran kecil, jadi setiap kali naik kami pam keluarkan air supaya ia boleh digunakan untuk mengangkut mangsa banjir," katanya.

Mohd Afiq yang bekerja sambilan sebagai pemandu e-hailing meluahkan kesyukuran melihat senyuman dan ucapan ibu bapa yang setia menunggu anak mereka diselamatkan dari sekolah.

Katanya, banjir kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh 21 tahun kediaman itu dibangunkan.

"Saya menetap di sini sudah 10 tahun, ini kali pertama Villa Ros banjir sehingga ada kediaman air naik ke paras tingkap. Banyak kenderaan terperangkap kerana ketika itu waktu bekerja.

"Barang di rumah memang rosak, sampai sekarang belum siap bersihkan. Kalau cakap pasal raya memang saya tak raya tahun ini.

"Alhamdulillah bersyukur Allah kerana panjangkan usia dan dapat selamatkan ratusan nyawa sudah buat saya bahagia," katanya.

 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search