OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

PM arah segera turun padang bantu pengurusan pascabanjir

PM arah segera turun padang bantu pengurusan pascabanjir

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan agensi serta pihak berkaitan supaya segera turun padang untuk membantu pengurusan pascabanjir, termasuk di Johor dan Sabah.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata langkah susulan itu penting bagi meringankan beban ditanggung mangsa banjir, terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Mengambil kira situasi di Johor dan Sabah yang kini beransur pulih, seharusnya semua pihak termasuk badan bukan kerajaan serta sektor swasta, menggembleng tenaga membantu mempermudahkan kesulitan dihadapi mangsa banjir.

"Bencana itu membawa kepada kerosakan harta benda, aset termasuk (menjejaskan) persiapan Aidilfitri yang disediakan sebelum ini," katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.1 peratus pada 2024 yang melepasi unjuran awal kerajaan dan jangkaan penganalisis bebas, membuktikan reformasi ekonomi dilaksanakan Kerajaan Madani sudah mula membuahkan hasil.

Beliau berkata, Perdana Menteri melihat pertumbuhan itu yang didorong oleh pelaburan domestik tertinggi dalam tempoh sedekad, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju dasar negara.

"Nilai pasaran modal juga mencatat rekod baharu, iaitu mencecah RM4.2 trilion dengan kadar pertumbuhan hampir 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Ia bukan sekadar angka, tetapi petanda positif bahawa asas ekonomi kita semakin kukuh," katanya.

Bank Negara Malaysia dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 yang dikeluarkan semalam berkata ekonomi negara berkembang kukuh 5.1 peratus tahun lalu berbanding 3.6 peratus pada 2023.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam Laporan Tahunan 2024 pula, minat belian yang kukuh dalam bursa tempatan, selain peningkatan ketara jumlah tawaran awam awal serta pertumbuhan jumlah terkumpul pasaran bon dan sukuk, telah meningkatkan saiz pasaran modal kepada RM4.2 trilion pada 2024 daripada RM3.8 trilion pada 2023.

Bagaimanapun, Tunku Nashrul berkata, Anwar akur bahawa cabaran struktur masih wujud, justeru produktiviti negara perlu dipertingkatkan, daya saing diperkukuh dan ketahanan ekonomi dibina semula dengan berlandaskan prinsip manusiawi serta tatakelola yang baik.

"Kita tidak boleh berkompromi dengan ketirisan dan rasuah yang merugikan negara serta membantutkan pembangunan.

"Kerangka Ekonomi MADANI yang dilancarkan pada 27 Julai 2023 bukan sekadar pelan dasar, tetapi juga satu usaha bersama untuk membina ekonomi lebih adil, lestari serta menyeluruh supaya pertumbuhan yang dicapai dapat dikecapi oleh semua, bukan hanya golongan elit," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search