Guna bot memancing selamat murid terkandas bah
- Admin UKK
- Berita
“Nyawa lebih penting daripada barang. Kalau bukan kita yang bantu, siapa lagi?,” kata Mohd Afiq Yuzaini yang menggunakan bot memancing untuk menyelamatkan lebih 100 murid yang terperangkap di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tampoi Utama, di sini dalam kejadian banjir buruk, Khamis lalu.
Dalam kejadian itu, Mohd Afiq, 30, bersama tiga jiran di kediaman Villa Ros, Taman Tampoi Indah, di sini, meredah banjir sehingga paras leher untuk menyelamatkan ratusan murid terkandas seawal jam 11 pagi sehingga jam 8.30 malam.
Beliau mendapat maklumat daripada jiran yang memaklumkan anak mereka terperangkap disebabkan pekarangan sekolah dinaiki air pada jam kira-kira jam 10.30 pagi.
“Ketika itu saya fikir hanya saya yang ada bot, jadi saya dan jiran angkat bot ke kawasan banjir.
“Saya berulang-alik jalan kaki hampir satu kilometer, lebih 30 kali dari pagi sampai malam selamatkan murid, ada juga warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang memanggil minta tolong.
“Enjin bot memang tak boleh pakai sebab bukan semua kawasan banjir dalam, jadi memang kami tolak sahaja,” katanya ketika ditemui di Villa Ros, di sini semalam.
Mohd Afiq berkata, dalam kesibukan menyelamatkan nyawa orang lain, kediamannya turut ditenggelami air ketika isteri, bayi lelaki dan dua kucing peliharaan berada di kediaman berkenaan.
“Ayah, Yuzaini Mohd Yusop, 55, datang membantu dari Singapura. Ketika jam 1.30 tengah hari, ayah sempat selamatkan kereta saya yang diletakkan di hadapan rumah, tetapi keretanya pula tidak sempat dikeluarkan dan rosak akibat banjir.
“Isteri dan anak sudah naik di tingkat dua rumah, dokumen banyak tidak dapat diselamatkan.
“Naluri saya sebagai bapa mendorong saya bersama jiran dan ayah menyelamatkan pelajar. Kalau ikutkan memang penat seharian dalam air banjir, menolak bot sejauh satu kilometer dan berulang-alik.
“Ditambah bot saya pula ada kebocoran kecil, jadi setiap kali naik kami pam keluarkan air supaya ia boleh digunakan untuk mengang-kut mangsa banjir,” katanya.
Mohd Afiq yang bekerja sambilan sebagai pemandu e-hailing meluahkan kesyukuran melihat senyuman dan ucapan ibu bapa yang setia menunggu anak mereka diselamatkan dari sekolah.
Katanya, banjir kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh 21 tahun kediaman itu dibangunkan.
“Saya menetap di sini sudah 10 tahun, ini kali pertama Villa Ros banjir sehingga ada kediaman air naik ke paras tingkap. Banyak kenderaan terperangkap kerana ketika itu waktu bekerja.
“Barang di rumah memang rosak, sampai sekarang belum siap bersihkan. Kalau cakap pasal raya memang saya tak raya tahun ini,” katanya.