PPS Kompleks Sukan Kanowit ditutup, situasi banjir pulih
- Admin UKK
- Berita
KANOWIT, 24 Mac: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Sukan Kanowit ditutup pada jam 5.00 petang hari ini selepas situasi banjir di kawasan tersebut kembali pulih.
Komander Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kanowit yang juga Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Junical Ujal mengesahkan penutupan PPS tersebut setelah perbincangan bersama pihak berkaitan dan mengambil kira keadaan semasa di lokasi.
“Keadaan banjir di Kanowit semakin baik dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Oleh itu, PPS di Kompleks Sukan Kanowit tidak lagi diperlukan dan ditutup mulai hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Untuk rekod, Dewan Kompleks Sukan Kanowit menempatkan 72 Ketua Isi Rimah (KIR) yang menguruskan keseluruhan 185 mangsa semasa operasi pemindahan.
Penutupan PPS tersebut diumumkan secara rasmi oleh Pengerusi JPBD Kanowit, Jackline August melalui satu notis rasmi yang turut diedarkan kepada Residen Bahagian Sibu, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu.
Pihak berkuasa juga menasihatkan penduduk agar terus berwaspada dan memantau perkembangan cuaca dari pihak berkuasa demi mengelakkan sebarang risiko sekiranya hujan lebat berterusan.
Sementara itu, pemantauan ke atas keadaan kawasan yang sebelum ini terjejas akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.-TVS