Ziarah kebajikan santuni mangsa tanah runtuh Kampung Lereng Bukit
- Admin UKK
- Berita
MIRI, 18 Mac: Mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di sini menerima kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, dalam satu lawatan kebajikan bagi meninjau keadaan mereka serta menyampaikan sumbangan.
Pada lawatan itu Dr. Zulkifli turut menzahirkan rasa kagum terhadap ketabahan dan memberi kata semangat kepada Nur Irsalina Syahirah, iaitu salah seorang mangsa kejadian tanah runtuh itu dan juga bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
“Saya merasa kagum dengan ketabahan Nur Irsalina. Walaupun cedera, dia tetap tersenyum dan bersemangat untuk menghadapi SPM. Kami datang hari ini untuk bertanya khabar serta mendoakan agar semua mangsa, termasuk Nur Irsalina dan Encik Arabi Samsuddin, terus diberi ketabahan oleh Allah SWT,” katanya ketika menziarahi Nur Irsalina dan datuknya, Arabi Samsuddin di kediaman saudaranya di sini, hari ini.
Beliau turut berharap agar semua keluarga yang terkesan terus diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini.
“Kami mendoakan agar semua mangsa tanah runtuh, termasuk Nur Irsalina dan keluarganya, diberikan ketabahan dan perlindungan oleh Allah. Setiap ujian pasti ada hikmahnya, dan saya yakin ini akan menjadikan mereka lebih kuat serta matang dalam menghadapi cabaran hidup,” tambahnya.
Selain lawatan kebajikan, Dr. Zulkifli turut mengadakan beberapa program kemasyarakatan di sekitar Miri, termasuk program Musa’adah Asnaf dan Ihya Ramadan di beberapa masjid seperti Masjid Al-Naim Lutong, Masjid Al-Muttaqin Bekenu, dan Masjid Darul Ehsan Piasau Jaya.
“Alhamdulillah, ramai yang hadir dalam program ini. Selain mendekatkan diri kepada Allah, kita juga menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf serta membantu masjid dan surau yang terkesan akibat banjir.
“Sebanyak lebih 24 masjid dan surau di Bekenu menerima sumbangan dalam usaha meringankan beban masyarakat setempat yang terjejas,” ujarnya.
Lawatan kerja singkatnya ke Miri ini menekankan kepentingan kesejahteraan sosial dan perpaduan masyarakat, selari dengan usaha kerajaan dalam membina Malaysia yang lebih inklusif dan maju.-TVS