29,326 liter air diguna padam kebakaran hutan gambut di Pekan
- Admin UKK
- Berita
KUANTAN: Sejumlah 29,326 liter air melalui kaedah pengeboman air digunakan bagi operasi memadam kebakaran hutan gambut membabitkan kawasan seluas 106 hektar di dua lokasi di Pekan, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, berkata helikopter melakukan pengeboman air sebanyak 22 kali dengan mendapatkan sumber air parit di sekitar kawasan kebakaran.
Katanya, sembilan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Pekan, Nenasi, Peramu, Indera Mahkota, Kuantan, Taman Tas, Muadzam Shah, Chini dan Rompin terdiri 77 anggota terbabit dalam operasi pemadaman itu.
"Daripada jumlah itu, 34.1 hektar berjaya dipadamkan dan anggota masih berusaha untuk memadamkan baki 71.9 hektar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dipecahkan kepada tiga sektor untuk memastikan api tidak merebak ke kawasan berhampiran.
Pada 10 Mac lalu, JBPM Pahang mengumumkan operasi pemadaman kebakaran ladang kelapa dan hutan seluas 176 hektar di Gebeng yang berlaku sejak 22 Februari lalu ditamatkan sepenuhnya.
Lebih 70 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi lebih dua minggu itu. Bagaimanapun, tumpuan operasi pemadaman kini beralih pula ke Pekan susulan cuaca panas.